Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

234) KORIDOR UTILITI SELANGOR (KUSEL)

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah peratus keberjayaan KUSEL dalam mencapai matlamatnya dalam pengurusan air?

    KUSEL berperanan dalam menguruskan jajaran utiliti iaitu kabel elektrik, telekomunikasi, gas, pembentungan termasuk paip air dan hal-hal berkaitan dengan perancangan pembangunan utiliti bawah tanah.

  2. Apakah masalah yang dihadapi KUSEL dalam melaksanakan fungsinya di lapangan?

    Kerja-kerja korekan tanpa permit.

    Kerja-kerja korekan yang tidak mendapat kelulusan permit daripada Pihak Berkuasa Melulus (PBM) dijustifikasikan sebagai kerja-kerja korekan haram / tidak sah (korekan tanpa permit). Ini memberi implikasi secara langsung kepada kutipan hasil PBM. Selain daripada itu, data utiliti bawah tanah juga tidak akan dapat diperolehi untuk dimasukkan ke dalam pangkalan data utiliti.

     

    Kerja-kerja korekan yang tidak menggunakan peralatan kawalan trafik mengikut Arahan Teknik Jalan (ATJ) oleh JKR.

    Kerja-kerja korekan secara haram atau tanpa permit adalah tidak menggunakan peralatan kawalan trafik mengikut Arahan Teknik Jalan (ATJ) JKR yang disediakan oleh pihak KUSEL. Peralatan pengurusan trafik disediakan berdasarkan kepada Pelan Pengurusan Trafik (TMP) mengikut piawaian. Pengurusan trafik termasuk pemantauan oleh Traffic Management Officer (TMO) bagi memastikan peralatan yang digunakan mencukupi dan mematuhi spesifikasi yang telah ditetapkan.

    Pengurusan kawalan trafik adalah penting bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan mengelakkan daripada berlaku kemalangan jalanraya seperti kejadian yang berpunca daripada kerja-kerja korekan haram dan tidak mempunyai kawalan trafik yang berlaku di Kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) seperti di Lampiran A.

     

    Pemasangan kabel tanpa kebenaran di dalam longkang

    Pemasangan kabel tanpa kebenaran tersebut menyebabkan gangguan saliran sehingga 40% berbanding kapasiti yang sepatutnya. Masalah ini menjadi punca kepada berlaku banjir kerana longkang tersumbat yang dipenuhi sampah sarap dan kabel utiliti haram.