Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
224) HOMESTAY DI TANAH PERTANIAN
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Tuan Mohd Razali Bin Saari
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bagaimana kerajaan negeri mengurus homestay yang berada dalam kawasan tanah pertanian yang dijadikan sebagai pelancongan dan apakah tindakan yang telah diambil oleh pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa membantu pengusaha-pengusaha yang berminat untuk menyediakan kemudahan tarikan pelancongan berkonsepkan homestay, farmstay atau agrostay. Garis Panduan Pemutihan Inap Dusun di bawah Program Pemurnian Pelancongan Negeri Selangor (P3S) yang telah diperkenalkan pada tahun 2019 sedang dalam fasa untuk disemak semula bagi dimuktamadkan sebagai panduan kepada semua PBT yang terlibat. Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah melantik hos komuniti setempat di setiap daerah bagi membangunkan produk pelancongan berasaskan pengalaman (experiential tourism) yang memberi impak kepada pelancong serta menjana ekonomi pengusaha homestay setempat.
-
Apakah bantuan khidmat nasihat dan saranan yang telah dan akan kerajaan berikan kepada pengusaha-pengusaha homestay di tanah pertanian?
Pihak Berkuasa Tempatan sentiasa menggalakkan penglibatan masyarakat setempat dalam industri pelancongan berkonsepkan homestay. Namun begitu, di bawah Program P3S, pengusaha diminta untuk mengemukakan permohonan Pelan Pembangunan [Kebenaran Merancang (bagi perubahan material penggunaan tanah pertanian kepada perniagaan iaitu homestay) / Pelan Bangunan / Pelan Kejuruteraan] ke PBT bagi mendapat kelulusan dengan keperluan teknikal minima. Pengusaha juga perlu mendapatkan kelulusan permit khas tanah pertanian kepada perniagaan di Pejabat Daerah Dan Tanah setempat. Bagi tujuan ini, pengusaha dibenarkan mengekalkan status pertanian selagi mana mengekalkan aktiviti pertanian 70% dari keluasan tapak dan akan dikenakan Permit Penggunaan Tanah Selain Pertanian dari Pentadbir Tanah. Seterusnya, pengusaha akan diberi Lesen Perniagaan bagi menjalankan perniagaan tersebut.
-
Senaraikan homestay di daerah Sabak Bernam yang berdaftar dan tidak berdaftar setelah pemutihan serta pengusahanya?
Berikut merupakan senarai homestay di daerah Sabak Bernam yang berdaftar dan tidak berdaftar setelah pemutihan serta pengusahanya.