Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
176) RUMAH/KAWASAN PERIBADI YANG TIDAK DIJAGA KEBERSIHAN SEHINGGA MENDATANGKAN MUDARAT
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Datuk Wira Johan Bin Abd Aziz
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri atau pihak PBT boleh mengambil tindakan undang-undang jika pemilik rumah/tanah jika degil membersihkan kawasan yang penuh dengan sampah atau semak samun?
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh memberikan Notis Amaran Hapus Kacau Ganggu berdasarkan Seksyen 82 – Notis menghendaki kacau ganggu dihapuskan, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) kepada pemilik rumah/ tanah yang memiliki rumah/ tanah yang penuh dengan sampah atau semak samun.
-
Bolehkah kerajaan menyita atau menyaman rumah/lot yang disebut di atas jika pemilik rumah/tanah gagal berbuat demikian?
Sekiranya pemilik rumah ingkar, PBT boleh mengarahkan pemilik rumah/ tanah membersihkan premisnya di bawah Seksyen 74 – Rumah d.s.b. kotor, Akta 171 yang menyatakan bahawa “Mana-mana pemunya, penduduk atau penyewa mana-mana rumah, bangunan atau tanah, sama ada layak diduduki oleh tenan atau tidak, yang membiarkan rumah, bangunan atau tanah itu atau mana-mana bahagiannya berada dalam keadaan kotor dan tidak baik atau diliputi oleh tumbuh-tumbuhan rimbun dan mudarat melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya dan didenda tambahan tidak melebihi satu ratus ringgit bagi setiap satu hari selama tempoh kesalahan itu diteruskan selepas sabitan”.