Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

167) PEMERKASAAN BIDANG SAINS SOSIAL

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Minta kerajaan memberikan maklumat terkini berapakah statistik pelajar pelajar jurusan sains sosial yang menerima bantuan pendidikan negeri Selangor

    Bagi tempoh masa tiga tahun iaitu 2021 hingga 2023, terdapat seramai 427 orang pelajar jurusan Sains Sosial telah menerima bantuan pendidikan Negeri Selangor.

  2. Demi memperkasakan lagi graduan sains sosial di negeri Selangor adakah kerajaan berhasrat untuk membuka ruang pekerjaan melalui inisiatif Kerajaan sendiri.

    Di bawah Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja yang kini digantikan dengan Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia, pelbagai usaha dan inisiatif telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha membantu rakyat Selangor yang tiada pekerjaan untuk mendapatkan sumber pendapatan melalui pelaksanaan program-program berteraskan kerjaya. Antara program-program utama yang mengkhususkan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Selangor yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:

     

    1. Program Jelajah Jobcare (Program pameran kerjaya yang dilaksanakan di setiap daerah);
    2. Program Gigcare – 1,000 (Membantu seramai 1,000 orang dalam kalangan pekerja perkhidmatan Gig dengan membiayai caruman perlindungan di bawah skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk tempoh setahun serta memberi kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan perlindungan PERKESO bagi menjamin masa depan mereka dan seisi keluarga;
    3. Program Jaminan Kerja Selangor (Program berkonsepkan pameran kerjaya dengan usahasama Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA));
    4. Program Bike Care – 1,000 (Membantu menggalakkan rakyat di negeri Selangor untuk menjana pendapatan di bawah ekonomi Gig); dan
    5. Program Latihan dan Penempatan Pekerja dengan usahasama Institusi Pengajian Tinggi.

     

    Berkenaan persoalan berhubung langkah bagi memperkasakan graduan Sains Sosial di negeri Selangor, Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia dalam perancangan untuk menjalinkan kerjasama dengan persatuan-persatuan siswazah untuk mengenalpasti graduan-graduan yang sedang mencari kerja dan memadankan mereka dengan syarikat-syarikat yang sedia memberi latihan serta peluang pekerjaan kepada graduan-graduan yang masih belum memiliki pengalaman kerja.

     

    Dalam pada itu, sepanjang tahun 2022 hingga 2023, pelbagai program telah dilaksanakan dengan melibatkan penyertaan kecil graduan-graduan yang sedang mencari pekerjaan. Antaranya program-program yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:

     

    • Program Jelajah Jobcare

    Membantu Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama PERKESO Negeri Selangor dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran yang meningkat di negeri ini disamping

    menyumbang ke arah peningkatan produktiviti negara. Program jelajah Jobcare ini dilaksanakan di setiap daerah. Bagi tahun 2022, daripada 1,495 pengunjung keseluruhan di kesemua program, seramai 892 peserta telah dikenalpasti berjaya mendapat pekerjaan dalam pelbagai bidang manakala 559 peserta menunggu bagi temuduga peringkat kedua. Manakala bagi tahun 2023, Kerajaan Negeri Selangor telah menyediakan hampir 4,000 peluang pekerjaan kepada belia-belia di bawah pelaksanaan Program Jelajah Jobcare dan secara keseluruhannya, hampir 35,000 peluang pekerjaan dari pelbagai bidang sektor telah disediakan melalui pelaksanaan program-program di bawah jawatankuasa. Maklumat berkenaan jumlah pengunjung bagi pelaksanaan Program Jelajah Jobcare tahun 2023 secara keseluruhan adalah seperti berikut:

     

    BIL. PERKARA JUMLAH

    (ORANG)

    1. Pendaftaran pengunjung 3,592
    2. Kehadiran 1,603
    3. Berjaya mendapat pekerjaan 228
    4. Temuduga kali kedua 1,170
    5. Gagal temuduga 613

     

    • Program Jaminan Kerja Selangor

    Program berkonsepkan pameran kerjaya dengan usahasama Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA).

     

    • Program Gig Care – 1,000

    Membantu seramai 1,000 orang dalam kalangan pekerja perkhidmatan Gig bagi membiayai caruman perlindungan di bawah skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk tempoh setahun serta memberi kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan perlindungan PERKESO bagi menjamin masa depan mereka dan seisi keluarga.

Lampiran

Tiada Lampiran.