Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
119) PENYELENGGARAAN KEMUDAHAN DAN INFRASTRUKTUR SEKOLAH
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Tuan Ong Chun Wei
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah insentif yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada sekolah bagi tujuan penyelenggaraan kemudahan dan infrastruktur yang usang dan membahayakan?
Kerajaan Negeri Selangor dalam Belanjawan 2024 telah menyediakan peruntukan kewangan berjumlah RM26.5 Juta bagi Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor yang merupakan program bantuan kepada sekolah di negeri Selangor bagi membaikpulih infrastruktur sekolah dalam membantu menyediakan persekitaran yang selamat dan kondusif.
Secara purata hampir 800 buah sekolah telah menerima manfaat melalui program ini pada tahun 2021 – 2023 (3 tahun). Perincian adalah seperti berikut:
Tahun 2021 2022 2023 Jumlah Sekolah 638 747 995 Jumlah Peruntukan RM26 juta RM26.5 juta RM26.5 juta Permohonan Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor ini dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian (online) melalui laman sesawang Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) bagi memudahkan urusan permohonan. Sekolah yang layak memohon Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor adalah di bawah kategori seperti berikut:
- Sekolah Kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan Dan Sekolah Mubaligh;
- Sekolah Agama Rakyat atau Sekolah Rendah Agama Integrasi yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor dan Maahad Integrasi Tahfiz Sains; dan
- Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), SJK Tamil (SJKT), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).
Kerajaan Negeri akan terus membantu anak-anak di Negeri Selangor untuk mendapat suasana pembelajaran yang baik bagi menarik minat dan motivasi untuk ke sekolah, dan seterusnya meningkatkan kadar literasi dan numerasi selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri melahirkan anak-anak Selangor yang berjaya pada masa hadapan.