Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

92) PENJAGAAN PALIATIF

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Dr. Quah Perng Fei

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah kemudahan yang sedia ada untuk pesakit penjagaan paliatif di bawah Kerajaan Negeri Selangor?

    Setakat ini terdapat 29 buah klinik kesihatan di Selangor yang menyediakan Perkhidmatan Perawatan Domisiliari (PPD) sebagai satu perkhidmatan holistik kepada kes stabil yang terlantar dan memerlukan kesinambungan penjagaan serta perawatan. Skop perkhidmatan yang disediakan merangkumi perawatan, rehabilitasi dan paliatif. Perawatan pesakit yang dijalankan di rumah adalah sebagai sambungan dari perawatan di hospital dan ia dijalankan oleh anggota kesihatan yang dilatih.

     

    Disamping menjalankan perawatan, anggota kesihatan juga akan memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada penjaga supaya perawatan dan penjagaan dapat diteruskan oleh penjaga selepas tempoh tertentu. Perkhidmatan perawatan termasuk latihan teknik mencegah berlakunya kudis tekanan, pendidikan mengenai rawatan luka, penjagaan tiub nasogastrik, kateter urethral, pemeriksaan ujian gula dalam darah dan pengukuran tekanan darah serta penyediaan sokongan emosi. Aktiviti rehabilitasi bagi kes yang memerlukan termasuk rehabilitasi pergerakan aktif dan pasif serta latihan activity of daily living (ADL). Perkhidmatan yang melibatkan perubatan paliatif tidak terhad kepada penjagaan pesakit kanser, tetapi juga penyakit buah pinggang peringkat akhir, penyakit paru-paru kronik dan kegagalan jantung.

     

    Di Negeri Selangor, kesemua 10 hospital berpakar di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia berupaya untuk merawat pesakit penjagaan paliatif. Namun, untuk perawatan yang lebih khusus atau kompleks, perkhidmatan subkepakaran Perubatan Paliatif boleh didapati di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Selayang, Hospital Sultan Idris Shah Serdang dan Hospital Ampang. Antara perkhidmatan yang disediakan di hospital untuk pesakit paliatif adalah perawatan pesakit dalam, perkhidmatan klinik pakar dan rawatan harian.

  2. Bolehkan Selgate menyediakan pusat bagi penjagaan paliatif di Negeri Selangor?

    Selgate melalui anak syarikatnya Selcare Senior Living sedang menjalankan operasi dibawah jenama Darul Insyirah. Darul Insyirah yang merupakan hub penjagaan dan pendidikan warga emas. Sehingga kini, Darul Insyirah mempunyai dua cawangan di Bangi Golf Resort dan Seksyen 2, Bandar Baru Bangi masing-masing menempatkan seramai 37 dan 20 penghuni warga emas. Terbaharu Selgate sedang merancang pembinaan Kompleks Darul Insyirah yang bertempat di Sungai Merab, Bangi. Kompleks Darul Insyirah yang boleh menempatkan lebih 130 penghuni ini bakal beroperasi pada tahun 2025.

Lampiran

Tiada Lampiran.