Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

60) STATUS PEMBINAAN PANGSAPURI NADAYU SUBANG MURNI

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Izuan Bin Ahmad Kasim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status projek Pangsapuri Nadayu Subang Murni di DUN Kota Damansara?

    Untuk makluman Yang Berhormat, projek Pangsapuri Nadayu Subang Murni merupakan projek Perumahan Mampu Milik Rumah Selangorku (263 unit) yang dibangunkan bersekali dengan Rumah Harga Bebas (787 unit) dalam satu skim pembangunan. Secara keseluruhannya, pembangunan di lapangan telah mencapai 96% kerja siap di lapangan merangkumi enam (6) blok pembangunan dan kompleks kemudahan sokongan seperti Dewan Serbaguna, Tadika, Perpustakaan, Kolam Renang, Gimnasium antaranya. Namun, pemaju kini sedang berusaha untuk menyiapkan projek selewat lewatnya akhir Mac 2024.

    Berdasarkan pemantauan pihak Kerajaan Negeri, pembangunan ini kini telah melampaui tempoh siap kerja yang disyaratkan seperti mana Perjanjian Jual Beli iaitu pada 22 Jun 2023. Oleh itu, pihak pemaju adalah dikehendaki untuk membayar denda / ganti rugi kelewatan (Liquidated Acertain Damages) seperti mana yang termaktub dalam Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966 kepada pembeli yang terlibat.

  2. Apakah faktor kelewatan pembinaan pangsapuri berkenaan?

    Selain isu kelewatan di lapangan disebabkan kompleksiti projek, pemaju memaklumkan impak daripada pandemik COVID-19 ini mengakibatkan kekurangan sumber tenaga pekerja, mesin dan bahan binaan yang secara langsung mengakibatkan kos dan harga bahan binaan yang terlampau seterusnya menjejaskan aliran tunai pemaju dan kontraktor. Kesan daripada kelewatan ini turut mengakibatkan pemaju menangguhkan fasa ketiga pembangunan ini yang melibatkan 307 unit Rumah Harga Bebas bagi menstabilkan aliran tunai dan mengenal pasti permintaan di pasaran sebelum mereka melancarkan pembangunan tersebut semula.

Lampiran

Tiada Lampiran.