Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

32) PENCEMARAN UDARA

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan tindakan penguatkuasaan telah diambil oleh kerajaan disebabkan pencemaran udara dalam DUN Rawang.

    Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor telah melaksanakan program penguatkuasaan dan pemantauan yang berterusan terhadap premis-premis yang mengeluarkan pencemar udara di kawasan Rawang. Berdasarkan rekod semasa Jabatan, terdapat 145 buah premis di kawasan Rawang yang tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014. Dari jumlah tersebut, pada tahun 2022 dan 2023 sebanyak 135 premis telah diperiksa oleh pegawai-pegawai pengutkuasa daripada Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor sepertimana program penguatkuasaan yang telah dirancang.

     

    Tindakan penguatkuasaan telah diambil berdasarkan hasil siasatan dan pemeriksaan yang telah dijalankan. Sebanyak 52 Notis Arahan dan 4 Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikenakan. Terdapat satu (1) kertas siasatan telah dibuka terhadap premis yang menyebabkan aduan dan pencemaran udara di kawasan Rawang.

  2. Apakah langkah-langkah mengatasi pencemaran udara dan habuk yang berasal daripada Blacktop Industries Sdn Bhd kepada kawasan perumahan di Batu 15, Rawang?

    JAS Selangor telah menjalankan beberapa siri pemeriksaan berkala dan juga siasatan aduan pencemaran udara di premis loji asfalt Blacktop Industries Sdn. Bhd. Berdasarkan rekod, JAS Selangor telah mengambil tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling,1974 (AKAS 1974) bagi menghentikan pencemaran udara dari terus berlaku dan mengeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31, Akta yang sama bagi mengarahkan tindakan-tindakan pembaikan dan pematuhan. Beberapa siri perbincangan dengan pihak premis dan konsultan juga turut diadakan.

    JAS Selangor telah mengarahkan premis tersebut supaya menyelenggara Sistem Kawalan Pencemaran Udara (SKPU), menjalankan pemantauan prestasi SKPU dan menyediakan orang yang berwibawa (competent person) bagi memastikan kecekapan SKPU dalam mengawal pelepasan habuk serta menjalankan percontohan cerobong (isokinetic sampling). Di samping itu, premis juga diminta untuk menggunakan bahan mentah yang kering dalam proses pembuatan bagi mengelakkan pelepasan asap putih yang tebal dan membasahkan jalan di dalam premis dengan menggunakan ‘water sprinkler’ bagi mengurangkan habuk ‘fugitive’.

     

    Pihak premis tersebut telah mengambil  tindakan pembaikan dengan memasang SKPU baharu (‘wet scrubber’ kepada ‘ventury scrubber’) bagi mengawal pencemaran udara yang dihasilkan dan mengambil tindakan seperti yang telah diarahkan. Premis juga telah menjalankan percontohan cerobong dan berdasarkan laporan percontohan cerobong yang diterima mendapati pelepasan asap/habuk daripada cerobong premis adalah mematuhi had nilai batas dan standard teknikal yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih), 2014.

Lampiran

Tiada Lampiran.