Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

16) BUDAYA DAN WARISAN

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah kerajaan negeri merancang untuk memelihara dan mempromosikan budaya serta warisan di Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam usaha pemeliharaan dan mempromosikan budaya dan warisan di Negeri Selangor melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan secara berterusan. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri melaksanakan pemeliharaan warisan melalui pengiktirafan dan pewartaan identiti di Negeri Selangor. Antara pewartaan bagi warisan tidak ketara yang telah dilakukan adalah pewartaan makanan Nasi Ambeng dan motif Bunga Tanjung. Kerajaan Negeri turut mendapatkan pengiktirafan di peringkat kebangsaan iaitu Wau Kapal yang telah diiktiraf sebagai petunjuk geografi bagi Negeri Selangor. Melalui usaha-usaha ini, elemen kebudayaan dan warisan dapat diketengahkan seteruskan dibangunkan bagi menjamin kelestariannya. Usaha ini juga merupakan satu tindakan yang dilaksanakan secara berterusan bagi elemen identiti dan warisan yang lain, termasuklah dalam elemen tarian, makanan, tekstil dan sebagainya. Sementara itu, bermula pada tahun ini, Kerajaan Negeri turut melaksanakan penetapan pemakaian Batik Selangor kepada warga pentadbiran Kerajaan Negeri sebelum diperluaskan secara komersial dan di peringkat masyarakat.

     

    Susulan dari usaha pengiktirafan dan pewartaan tersebut, pada tahun 2022, Program Festival Makanan Warisan Negeri Selangor telah mengangkat Nasi Ambeng sebagai hidangan warisan negeri dan turut melakar sejarah dalam Malaysia Book of Records sebagai hidangan Nasi Ambeng terbanyak iaitu 2022 hidangan. Melalui program yang sama pada tahun 2023, Kerajaan Negeri telah melakar rekod hidangan Sate Kajang terbanyak iaitu sebanyak 100,000 cucuk sate. Pelaksanaan program seperti ini memberi anjakan promosi melalui penglibatan orang awam dan liputan pelbagai platform media dalam program tersebut.

     

    Selain itu, pelbagai pelaksanaan program di peringkat daerah yang memfokuskan elemen kebudayaan dan warisan tradisi turut dilaksanakan, termasuklah penganjuran Program Hero Arts Festival iaitu sebuah program pertandingan permainan-permainan tradisi dan warisan, Program Jelajah Rentak Selangor iaitu program jelajah yang menampilkan seni muzik warisan dalam Negeri Selangor, dan pelbagai program kebudayaan yang lain.

     

    Antara usaha lain yang dilakukan bagi merakyatkan budaya di Selangor adalah seperti pengembangan seni muzik cempuling yang dilakukan secara intensif bermula tahun 2015 sehingga kini. Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Adat Melayu & Warisan Negeri Selangor (PADAT) komited dalam melahirkan pelapis pemuzik cempuling dalam kalangan generasi muda termasuklah dalam kalangan komuniti, persatuan dan pelajar sekolah. Program Pertandingan Seni Warisan Cempuling merupakan antara usaha yang sedang dilaksanakan pada tahun ini dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM). PADAT juga turut memperkasa budaya dan warisan melalui program-program pendidikan yang menumpukan terhadap golongan belia dan remaja seperti program yang telah dirancang pada tahun 2024 iaitu Kelas Gamelan dan kelas Asas Tarian Tradisional di Muzium Sultan Alam Shah.

     

    Di samping itu, Kerajaan Negeri turut memperkasa strategi bagi mempromosikan kebudayaan dan warisan melalui Pelan Tindakan Utama di dalam Pelan Strategik PADAT 2024-2028 di bawah Teras Strategik 2 iaitu “Memartabat Dan Melestari Warisan Ke Arah Selangor Negeri Beridentiti”. Sehubungan itu, PADAT telah menggariskan 3 Pelan Tindakan Utama bagi teras strategik tersebut iaitu:

     

    1. Memantapkan Hala Tuju Pembangunan Dan Pengembangan Warisan.

    Hala tuju pembangunan dan pengembangan warisan Selangor akan dilaksanakan secara kerjasama antara PADAT dan UPEN Sektoral melalui pembangunan dua buah pelan hala tuju iaitu Pelan Pembangunan Kebudayaan dan Warian Selangor dan Pelan Pengembangan Tekstil Selangor.

     

    1. Memperkasa Penyelidikan Dan Penerbitan Warisan Berkualiti

    Antara tindakan awal yang perlu dilakukan sebelum pengembangan budaya dan warisan ialah penyelidikan dan kajian yang meliputi bidang warisan ketara dan tidak ketara. Hasil penyelidikan tersebut akan diterbitkan sebagai rujukan dan melalui penyelidikan tersebut juga membolehkan pewartaan budaya dan warisan dilaksanakan.

     

    • Membudayakan Warisan Selangor Secara Holistik.

    Bagi memastikan pengembangan budaya dan warisan dapat dilakukan secara menyeluruh, PADAT telah merancang program dan tindakan meliputi pelbagai peringkat iaitu dari akar umbi hingga ke pucuk pimpinan

  2. Bagaimanakah kerajaan negeri merancang untuk melindungi tapak warisan di Selangor?

    Negeri Selangor kaya dengan sumber warisan yang bernilai tinggi. Terdapat beberapa sumber warisan yang bernilai tinggi dan diakui sebagai Warisan Negeri, Warisan Kebangsaan dan juga ada yang berpotensi untuk dicalonkan sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO.

    Pengurusan kawasan sensitif alam sekitar, sumber jaya semula jadi dan warisan adalah penting bagi memelihara kepelbagaian aset sumber jaya dalam memastikan kelangsungan ekonomi Negeri Selangor. Pertamanya, pemeliharaan, pemuliharaan dan pengintegrasian KSAS dalam perancangan guna tanah adalah antara perancangan Kerajaan Negeri bagi memberi perlindungan kepada tapak-tapak ini. Antaranya:

    • Mengawal pembangunan di Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) secara bersepadu berdasarkan tahap KSAS 1, 2 dan 3.
    • Memelihara dan memulihara tapak- tapak yang mempunyai Nilai Universal Sejagat (OUV) dan warisan yang tinggi untuk diangkat ke tapak warisan kebangsaan dan seterusnya warisan dunia UNESCO.
    • Merancang penggunaan tanah dan aktiviti pembangunan dalam kawasan geopark selaras dengan keperluan pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan ini.
    • Memastikan Rancangan Tempatan (RT) menetapkan zon penampan yang bersesuaian antara kawasan warisan yang telah ditetapkan dengan zon pembangunan yang dibenarkan.
    • Mengenal pasti kegunaan/aktiviti yang bersesuaian dalam zon penampan kawasan FRIM, Taman Warisan, Permatang Kuarza Gombak dan Pusat Kawalan Kusta Negara.

    Keduanya, pengekalan dan pemuliharaan kawasan warisan semula jadi dan sumber warisan sejarah adalah antara matlamat pembangunan Kerajaan Negeri bagi memastikan pembangunan fizikal Negeri Selangor diuruskan secara teratur dengan mengambil kira keperluan mengimbangi pembangunan perbandaran dengan keperluan pemeliharaan alam sekitar dan sumberjaya semula jadi. Kawasan-kawasan yang mempunyai warisan semula jadi dan warisan kebudayaan perlu dipulihara untuk membentuk imej bandar warisan.

    Bagi warisan semula jadi, Taman Warisan Negeri Selangor yang meliputi tiga(3) daerah iaitu Daerah Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat merupakan Warisan Negeri Selangor yang diiktiraf oleh Kerajaan Negeri yang melibatkan 10 kawasan hutan lipur. Kawasan ini juga mempunyai jaluran Permatang Kuarza Gombak Selangor yang berpotensi untuk diangkat sebagai Tapak Warisan Kebangsaan dan Tapak Warisan Dunia UNESCO. Kawasan ini juga merupakan sebahagian daripada Rangkaian Ekologi CFS Selangor di mana Rancangan Fizikal Negara (RFN) ke-4 telah menekankan kepada kepentingan kawasan tersebut untuk tujuan pemuliharaan kepelbagaian biologikal.

    Manakala bagi sumber warisan ketara dan bangunan pula, aset-aset berikut telah diiktiraf sebagai bernilai Warisan Kebangsaan iaitu:

    1. Bangunan Sultan Suleiman (Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz), Klang;
    2. Masjid Diraja Sultan Ala’eddin, Kampung Bandar, Jugra;
    • Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang;
    1. Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves;
    2. Bukit Malawati, Kuala Selangor; dan
    3. Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia. (FRIM), Kepong

    Justeru, dalam konteks menyokong ke arah kelangsungan sumber warisan yang unik, bersejarah serta bernilai artistik yang tinggi untuk tujuan pengekalan aset negeri, antara perancangan Kerajaan Negeri bagi pemeliharaan sumber-sumber ini adalah seperti berikut:

    1. Mewartakan taman negeri bagi tanah kerajaan dalam kawasan tanah lembap (bencah), hutan simpan paya bakau, hutan simpanan dan rizab hidupan liar sebagai aset warisan semula jadi negeri seperti Permatang Kuarza Gombak Selangor, Kampus FRIM dan Pusat Kawalan Kusta Negara yang berpotensi sebagai tapak warisan dunia.
    2. Mewartakan sumber warisan seni bina bangunan yang berpotensi dinaik taraf di peringkat negeri atau kebangsaan menerusi Akta Warisan Kebangsaan 2005 atau Enakmen No 4, PADAT 2009 seperti pelaksanaan kerja-kerja pengukuran dan penyediaan pelan warta bagi tapak-tapak warisan di Klang, Bukit Malawati, Kuala Kubu dan Jugra.
    3. Memulihara sumber warisan seni bina bangunan yang didaftarkan oleh Jabatan Warisan Negara dengan permohonan peruntukan pembangunan negeri dan juga Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Seni, Budaya dan Pelancongan (MOTAC) Negeri Selangor.
    4. Mengawal sumber warisan seni bina bangunan menerusi kawalan pembangunan mengikut garis panduan yang disediakan seperti Garis Panduan Perancangan Pemuliharaan Kawasan dan Bangunan Warisan oleh Plan Malaysia dan Garis Panduan Pemuliharaan Bangunan Warisan oleh Jabatan Warisan Negara.
    5. Menerapkan konsep kerjasama pintar di antara pihak swasta dan kerajaan di dalam pemuliharaan bangunan warisan.
    6. Mempromosikan sumber warisan semula jadi dan seni bina bangunan sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan sebagai produk pelancongan.
    7. Mengukuhkan mekanisme pengurusan sumber warisan melalui penglibatan badan bukan kerajaan, komuniti setempat dan semua agensi terlibat secara bersepadu seperti Program Resque Team yang dilaksanakan oleh agensi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT)
    8. Menyediakan satu sistem maklumat inventori untuk sumber warisan semula jadi dan sumber seni bina bangunan di bawah pengendalian agensi yang berkaitan. Kini terdapat 120 bangunan / monumen yang telah disenaraikan di dalam senarai inventori tapak warisan di Selangor.
    9. Meningkatkan program pendidikan dan kesedaran awam mengenai kepentingan warisan semula jadi dan seni bina bangunan.

Lampiran

Tiada Lampiran.