Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

12) PELANCONGAN

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah kerajaan negeri merancang untuk mempromosikan Selangor sebagai destinasi pelancongan utama?

    Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor telah merancang untuk mempromosikan destinasi-destinasi pelancongan utama di Selangor seperti berikut:

     

    1. Mempromosikan destinasi pelancongan utama di Selangor melalui siri promosi dalam dan luar negara dengan kempen “Nak Bercuti, Pusing Selangor Dulu!” bagi pasaran domestik dan kempen “Splendid Selangor, Take Me Anywhere” bagi pasaran antarabangsa;
    2. Menyertai pelbagai pameran dan penganjuran acara di dalam dan luar negara bagi mempromosikan produk-produk dan destinasi pelancongan di Negeri Selangor; dan
    3. Meningkatkan kemudahan infrastruktur dan kebersihan di kawasan-kawasan tumpuan pelancongan dengan kerjasama pelbagai agensi di dalam memastikan penyelenggaraan di laksanakan dengan baik.
  2. Apakah strategi pemasaran yang akan digunakan untuk menarik pelancong domestik dan antarabangsa?

    Antara strategi pemasaran yang dilaksanakan oleh Tourism Selangor adalah seperti berikut:

     

    1. Melaksanakan kempen yang dijalankan serentak iaitu bagi pasaran domestik, Kempen “Nak Bercuti,Pusing Selangor Dulu!” dan pasaran antarabangsa, kempen “Splendid Selangor, Take Me Anywhere”;
    2. Mempromosikan destinasi pelancongan menarik yang terdapat di negeri Selangor melalui 16 akaun rasmi pelbagai bahasa di platform rasmi Tourism Selangor seperti di Facebook, Instagram, Twitter dan yang terbaru di TikTok yang sehingga ke hari ini mempunyai jumlah pengikut lebih dari 680,000 orang dan 55 juta tontonan; dan
    3. Menganjurkan siri-siri Familiarization Trip (FAM TRIP) kepada pihak media, pempengaruh media ssosial, agensi pelancongan dan penggiat industri pelancongan di peringkat domestik dan antarabangsa bagi memberi pendedahan tentang keunikan pelancongan yang terdapat di Negeri Selangor.

     

    Pelaksanaan strategi-strategi ini telah berjaya mencatatkan Negeri Selangor menerima kedatangan pelawat domestik tertinggi pada tahun 2022 dengan jumlah pelancong seramai 22 juta orang berbanding Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur seramai 16.9 juta orang manakala Sarawak seramai 15.5 juta orang.

  3. Bagaimanakah kerajaan negeri akan meningkatkan infrastruktur dan kemudahan untuk pelancong?

    Bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur pelancongan bagi tahun 2024, Kerajaan Negeri telah memperuntukan sebanyak RM1.6 juta untuk disalurkan kepada beberapa Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi yang telah mengemukakan permohonan bagi cadangan projek-projek naiktaraf infrastruktur.

     

    Selain itu, pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia turut menyediakan peruntukan di bawah Program Pemeliharaan, Pemuliharaan, Ubahsuai dan Naiktaraf (PPUN) dan Kerajaan Negeri telah mengemukakan sebanyak 16 buah cadangan projek-projek naiktaraf bagi tahun 2024 berjumlah RM4.9 juta. Manakala bagi projek-projek berimpak tinggi, pihak Kementerian turut menyediakan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia ke 12, Rolling Plan ke 5 dan Kerajaan Negeri telah mengemukakan tiga permohonan dengan jumlah RM53 juta untuk dipertimbangkan oleh pihak Kementerian.

     

    Kerajaan Negeri juga, turut memberi peluang kepada pelabur-pelabur yang mempunyai keupayaan untuk melabur bagi membangunkan produk-produk pelancongan yang mempunyai potensi tinggi untuk dinaiktaraf melalui proses RFP (Request of Proposal) sekaligus dapat memberi hasil dan pulangan yang baik kepada Kerajaan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.