Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

412) ISU KEBANJIRAN WARGA ASING

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Warga Asing & Hal Ehwal Luar Negeri

Adun: Y.B. Tuan Wan Dzahanurin Bin Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan kerajaan mengatasi isu kebanjiran warga asing tanpa izin yang tinggal di Selangor, khususnya di Dun Sungai Kandis?

    Antara tindakan yang diambil bagi mengatasi isu kebanjiran warga asing tanpa izin adalah:

    i) Mengadakan operasi bersepadu secara berkala oleh PBT bersama rakan strategik seperti Jabatan Imigresen, PDRM, dan lain-lain yang berkaitan;

    ii) Menyita barangan perniagaan warga asing;

    iii) Pelaksanaan pemantauan yang kerap dan berkala di lokasi hotspot;

    iv) Melaksanakan pemeriksaan premis kediaman dan perniagaan;

    v) Membasmi lokasi-lokasi pertanian di Johan Setia yang diusahakan oleh warga asing;

    vi) Merampas hakmilik tanah sekiranya dibuktikan bahawa tanah tersebut disewakan kepada warga asing; dan

    vii) Menyenarai hitam pemilik lesen yang menyewakan lesen perniagaannya kepada warga asing.

     

  2. Adakah terdapat SOP bagi pemohon lesen perniagaan bagi mengatasi masalah penyalahgunaan lesen berniaga oleh warga asing?

    Kerajaan Negeri mempunyai SOP untuk mengatasi masalah penyalahgunaan lesen berniaga oleh warga asing berpandukan kepada Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan) Bilangan 1 Tahun 2020 iaitu Garis Panduan Dasar Aktiviti Penjaja Dan Peniaga Kecil Di Negeri Selangor yang berkuat kuasa pada 19 Jun 2020. Berdasarkan Garis Panduan tersebut, tindakan penguatkuasaan yang boleh dikenakan oleh PBT terhadap peniaga warga asing adalah seperti berikut:

    i) Mengadakan sekatan berupa larangan kepada bukan warganegara Malaysia untuk memohon dan memiliki lesen penjaja, pasar malam dan pasar pagi;

    ii) Melarang bukan warganegara Malaysia membantu atau bekerja atau berada bersama-sama penjaja di lokasi perniagaan;

    iii) Menetapkan hanya warganegara asing yang memiliki Visa pekerjaan yang khusus dengan aktiviti perniagaan sahaja yang boleh diambil bekerja di premis perniagaan dan tred;

    iv) Menetapkan sekurang-kurangnya 30% daripada jumlah pekerja yang digaji terdiri daripada warganegara Malaysia;

    v) Memasukkan syarat dalam lesen perniagaan yang mana pemilik lesen perlu mengemukakan pas pekerja yang sah selaras dengan peruntukan dibawah Akta Imigresen 1959/63;

    vi) Mengeluarkan notis tunjuk sebab tidak berniaga sendiri;

    vii) Mengeluarkan notis tunjuk sebab tidak berniaga langsung;

    viii) Membatalkan lesen penjaja dan menyenarai hitam nama peniaga dari memohon apa-apa jenis perniagaan kerana melanggar syarat-syarat lesen penjaja bagi aktiviti perniagaan yang melibatkan kawasan komersial atau industri di bawah peruntukan Undang-undang Kecil (UUK) Penjaja 2007, UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2007 dan mana-mana UUK berkaitan di bawah Perkara 4 (4) (c) – Apa-apa syarat atau sekatan yang dinyatakan di dalamnya; dan

    ix) Melaksanakan siasatan terperinci bagi membuktikan bahawa warga asing merupakan pemilik kepada perniagaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.