Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

390) PERKHIDMATAN AHLI MAJLIS

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah Kerajaan Negeri punya tekad supaya Ahli Majlis PBT berkhidmat dengan efisyen?

    Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dilantik merupakan tulang belakang yang menyampaikan agenda Kerajaan Negeri dan juga membawa suara rakyat di peringkat komuniti untuk dibawa kepada perhatian pihak Kerajaan Negeri dan PBT. Oleh itu, Kerajaan Negeri meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap Ahli Majlis yang dilantik dalam pelaksanaan peranan masing-masing dengan menekankan perkara-perkara antaranya seperti berikut:

    i) Ahli Majlis adalah merupakan ahli mesyuarat dan/ atau pemerhati dalam mesyuarat-mesyuarat di peringkat jawatankuasa PBT yang bertanggungjawab dalam memberikan pandangan dan/ atau menentukan soal pembangunan fizikal dan sosial; dan

    ii) Ahli Majlis perlu menjadi penghubung di antara masyarakat dengan PBT dan perlu melaksanakan komunikasi yang berkesan di antara kedua-dua pihak bagi memastikan hasrat Kerajaan Negeri dapat difahami di peringkat tempatan.

  2. Apakah syarat-syarat yang ditentukan Kerajaan Negeri bagi melahirkan Ahli Majlis PBT yang mampu berkhidmat dengan efisyen?

    Kerajaan Negeri telah mengeluarkan Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan) Bilangan 1 Tahun 2021 – Garis Panduan Pengurusan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor berkuat kuasa 1 September 2021 yang menjelaskan syarat-syarat yang ditentukan oleh Kerajaan Negeri supaya pelantikan Ahli Majlis PBT dapat dibuat mengikut kriteria yang dicadangkan dengan sewajarnya antaranya kriteria pemilihan, pelantikan, penamatan dan penetapan peranan.

  3. Apakah tindakan kerajaan sekiranya ada aduan rakyat terhadap Ahjli Majlis tidak efisyen?

    Kerajaan Negeri akan mendapatkan maklum balas segera daripada PBT yang berkaitan sekiranya terdapat aduan mengenai mana-mana Ahli Majlis PBT yang berkenaan. Ahli Majlis yang berkenaan juga hendaklah mengemukakan surat penjelasan kepada YB Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dalam tempoh 14 hari bekerja. Prosedur berkaitan pengurusan aduan terhadap Ahli Majlis ini turut dinyatakan dengan jelas dalam Garis Panduan Pengurusan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.