Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

380) HAK ORANG ASLI PRIBUMI DAN BUMIPUTERA

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Orang Asli

Adun: Y.B. Tuan Muhaimin Harith Bin Abdullah Sani

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif kerajaan untuk membela nasib orang asli pribumi dan bumiputera di Selangor?

    Untuk makluman Yang Berhormat Batang Kali, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil perhatian dalam menjaga kebajikan dan melindungi hak Orang Asli. Pelbagai bantuan dan program dilaksanakan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi memperkasa masyarakat Orang Asli melalui program Pembangunan Modal Insan, program Pembangunan Sosio ekonomi, Infrastruktur dan Keusahawanan.

    Di bawah program Pembangunan Modal Insan, beberapa inisiatif telah dilaksanakan antaranya bantuan pendidikan seperti wang saku, pakaian seragam sekolah, yuran pelbagai, biasiswa kepada pelajar yang memasuki IPTA, program bakul makanan, pembiayaan perubatan dan bantuan alatan sokongan pesakit.

    Bagi program Pembangunan Sosio Ekonomi, program yang dilaksanakan adalah program pembangunan infrastruktur dan ameniti sosial, projek bekalan air terawat, projek jalan perhubungan dan Projek Bantuan Rumah Orang Asli (PBROA) manakala bagi program Pembangunan Ekonomi dan Usahawan ialah Projek Pembangunan Ladang Masyarakat Orang Asli (PLMOA), Projek Tanam Semula Komersial (TSK), Projek Hands Holding, pengembangan pertanian, bantuan input pertanian dan bantuan usahawan.

  2. Apakah status dan kaedah yang akan dilaksanakan oleh kerajaan untuk menyelesaikan isu tanah adat orang Asli di Selangor khususnya di Kg Gurney dan Hulu Tamu Batang Kali?

    Status bagi kedua-dua kampung Orang Asli Gurney dan Hulu Tamu adalah kampung yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Status tanah bagi kedua-dua kampung tersebut adalah Tanah Kerajaan Negeri yang Bertindih dengan Rizab Melayu dan Rizab Hutan Simpan. JAKOA Selangor telah mengukur dan menghantar pelan kedua-dua kampung untuk permohonan pewartaan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor masing-masing pada 15 Ogos 2018 dan 20 Februari 2019 bagi kampung Orang Asli Gurney dan pada 20 September 2017.

    Terdapat beberapa inisiatif yang telah dan akan terus dilaksanakan oleh Jabatan ini untuk menjaga dan memelihara kepentingan dan hak tanah Orang Asli. Antara langkah yang telah dibuat adalah seperti berikut :

    i. Mengiktiraf bahawa Orang Asli mempunyai hak ke atas tanah yang mereka duduki atau gunakan;
    ii. Menjamin dan melindungi tanah pegangan Orang Asli termasuklah mengukur dan mewartakan tanah atau wilayah tanah adat yang diduduki atau digunakan oleh Orang Asli di bawah Akta 134 atau Kanun Tanah Negara dengan segera dan mengekalkan pewartaan;
    iii. Meletakkan moratorium (syarat-syarat tertentu) bagi pelupusan tanah di sekitar kawasan Orang AsIi bagi satu tempoh sehingga selesai pewartaan;
    iv. Mewartakan Kawasan Tambahan bagi menampung populasi masyarakat Orang Asli; dan
    v. Menyerahkan Tanah Rizab Orang Asli sedia ada kepada masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan tersebut.

    Untuk makluman Yang Berhormat Batang kali, semakan dari Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor mendapati permohonan pewartaan yang dikemukakan oleh JAKOA bagi kawasan Orang Asli Hulu Tamu Batang Kali dan kawasan Orang Asli Kampung Gurney adalah tidak dapat diproses selanjutnya memandangkan berlaku pertindihan dengan Tanah Simpanan Melayu Bukit Tamu merujuk No. Warta 4830 bertarikh 22 Oktober 1920 dan Rizab Hutan Simpan Batang Kali merujuk No. Warta 784 bertarikh 25 Februari 1921. Bagi menyelesaikan isu ini, selaras keputusan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asli melalui surat pemakluman daripada Seksyen Sektoral Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor bertarikh 16 Januari 2024 berkenaan bahawa Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) boleh mengemukakan permohonan pengukuran pewartaan Kampung Orang Asli dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1juta setahun, PDT Hulu Selangor dengan kerjasama JAKOA Hulu Selangor sedang bersama-sama meneliti beberapa kawasan Orang Asli yang boleh disenaraikan bagi projek pengukuran ini termasuk Kampung Orang Asli Hulu Tamu dan Kampung Orang Asli Gurney.

Lampiran

Tiada Lampiran.