Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
364) PENGGUNAAN APLIKASI MOBIL UNTUK SEMUA PROGRAM ISP
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Sains, Teknologi & ICT
Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan berhasrat untuk menggabungkan semua aplikasi yang berkhidmat untuk program ISP yang berbeza di bawah Selangkah?
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Seri Kembangan, Kerajaan Negeri kini dalam perancangan untuk mengabungkan semua aplikasi yang berkhidmat untuk Program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) di bawah Selangkah dengan mengambil kira kelebihan pemusatan yang memberi impak seperti peningkatan akses rakyat kepada pelbagai manfaat ISP melalui satu saluran platform berpusat bagi semua tawaran manfaat ISP Kerajaan Negeri. Ianya juga dapat mengurangkan kebocoran, ketirisan kos dan keciciran oleh pengguna sepanjang pelaksanaan ISP. Pemusatan ini memudahkan pertukaran informasi antara agensi-agensi pelaksana ISP di Selangor, bagi mengelakkan proses permohonan berulang oleh pengguna tanpa perlu mengisi borang berulang kali, dan mengelakkan redundancy (penerimaan manfaat berulang). Sistem elektronik bersepadu membolehkan penyeragaman standard di antara pengendali yang akan menawarkan kos pembangunan dan penyelenggaraan yang rendah berbanding metodologi kini, sekaligus mengurangkan kos operasi. Senibina pemusatan SELANGKAH direkabentuk tanpa mengabaikan kepentingan pemegang taruh lain. Kaedah “Super App” SELANGKAH dan penerbitan standard API (Application Programme Interfaces) membolehkan agensi-agensi terlibat seperti terus mengguna pakai pengendali sama untuk membina “mini app”/modul yang selari dengan standard dan boleh dimuatkan ke dalam Super App Selangkah.
-
Penggunaan aplikasi yang berbeza telah menambah kesukaran rakyat Selangor menyesuaikan diri dengan berkesan, apakah cara penyelesaiannya?
Kerajaan Negeri Selangor ke arah membangunkan sebuah Portal Perkhidmatan Online (Selangor Government Online Services – SGOS) sebagai platform sehenti untuk menyediakan rakyat dengan akses mudah kepada perkhidmatan Kerajaan Negeri Selangor. Portal ini membolehkan pengguna melakukan pelbagai peringkat urusan seperti permohonan, pembayaran bil, pembaharuan lesen dan sebagainya serta mempunyai akses terus kepada maklumat berkenaan perkhidmatan seluruh jabatan/agensi Kerajaan Negeri Selangor. Usaha ini adalah bersesuaian dengan keperluan Kerajaan Malaysia ke arah meningkatkan perkhidmatan online Kerajaan Secara Hujung-ke-Hujung (End-to-End) yang dipantau oleh pihak MAMPU terhadap semua jabatan/agensi di bawah Kementerian dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Dengan memusatkan dan mengautomasikan perkhidmatan di atas satu platform, kecekapan operasi sesebuah jabatan dapat dipertingkatkan dengan ketara. Platform ini mengurangkan kertas kerja, menghapuskan pemprosesan manual dan membolehkan transaksi digital untuk berlaku dengan lebih lancar. Seterusnya Transformasi Digital di jabatan Kerajaan Negeri Selangor akan berlaku dengan pantas. Bagi memastikan pembangunan Portal Perkhidmatan Online yang mempunyai semua potensi di atas, suatu kajian yang menyeluruh dan berimpak tinggi diperlukan. Sehubungan itu kajian awal SGOS sedang dilaksanakan oleh Bahagian Pengurusan Maklumat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan dijangka selesai pada seawal bulan Jun 2024.