Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

363) SEKTOR KEWANGAN ISLAM, MAKANAN HALAL DAN REKREASI HALAL

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. State of the Global Islamic Economy (SGIE) 2023/24, meletakkan Malaysia pertama dalam sektor kewangan Islam, makanan halal, media dan rekreasi halal. Apakah strategi Kerajaan Negeri bagi memastikan Selangor menjadi hab utama sektor ini yang dijangka mampu menjana pertumbuhan ekonomi negeri?

    Kerajaan Negeri Selangor telah melancarkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) untuk merancakkan pembangunan ekonomi Halal bagi memenuhi keperluan industri dan membina daya tahan yang kukuh di masa hadapan, sekali gus mengorak langkah ke arah pencapaian aspirasi Negeri Pintar, Berdaya Huni dan Makmur menjelang tahun 2025. Halal International Selangor (HIS Toyyiba) adalah inisiatif Kerajaan Negeri untuk memacu kemampanan industri Halal di Negeri Selangor sebagai “Negara Bangsa Global” dalam industri halal.

    HIS Toyyiba merupakan agensi peneraju bagi melaksana lima (5) Projek/Program/Inisiatif Rancangan Selangor Pertama (RS-1) sebagai teras Pembangunan ekonomi dan sektor Halal seperti berikut:-

    i. Platform Maklumat Pusat (Central Information Platform)
    ii. Promosi Halal Selangor
    iii. Penyelesaian Rantaian Bekalan Halal Selangor
    iv. Pembangunan Kapasiti Halal Selangor
    v. Penilaian Kesediaan Sijil Halal (CRA)

    Sejajar dalam pelan rancangan tersebut, Jawatankuasa Tetap Industri Halal (JKTIH) Selangor telah merangka strategi empat (4) Teras dan sembilan (9) Inisiatif bagi memastikan Selangor mampu menjana pertumbuhan ekonomi seperti berikut: –

    i.Kecekapan Proses Pensijilan Halal Selangor
    a.Inovasi Semakan Digital Pantas Pensijilan Halal

    ii.Inovasi Pendigitalan Halal Selangor
    a.Pembangunan Sistem Certificate Readiness Assessment (CRA) – Proses Pra-Permohonan dan Pembaharuan Pensijilan Halal
    b.Pendigitalan Pangkalan Data Bahan Ramuan dan PMKS Halal
    c.Pelaksanaan Kebolehkesanan Digital Halal (Halal Digital Traceability)
    d.Pembangunan Model “Halal Logistics & Halal Warehouse”

    iii.Latihan dan Pembangunan
    a.Program Galakan Pensijilan Halal – Latihan & Bimbingan

    iv.Pembelajaran Ekosistem Halal
    a.Pendedahan dan Pembelajaran Teknologi Inovasi Halal Menerusi Lawatan Kerja Ke Luar Negara.

    v.Promosi Halal Selangor
    a.Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC) 3.0
    b.Penyertaan Pameran Tempatan dan Luar Negara Industri Halal

    Dalam sektor makanan halal, Kerajaan Negeri memperkenalkan Program Galakan Pensijilan Halal di kalangan pemain industri tempatan. Melalui program yang akan dilaksanakan oleh HIS Toyyiba Bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), PMKS dan multinasional akan dibantu untuk mendapatkan pensijilan Halal Malaysia menerusi latihan Halal, program bimbingan halal, fasilitasi infrastruktur inkubator halal serta membina jaringan rantaian bekalan halal. Program ini bukan sahaja untuk sektor makanan halal, malahan melibatkan kesemua sembilan (9) skim di dalam pensijilan halal.

    Selain itu, program ini juga akan memberi peluang kepada produk-produk yang telah mendapat SPHM untuk menembusi pasaran bukan sahaja di Malaysia, malahan pasaran halal Global melalui program-program promosi dan pemasaran seperti SELHAC, ekspo tempatan dan antarabangsa serta program padanan perniagaan.

    Program ini dijangka akan memberikan impak jangka panjang kepada pembangunan PMKS dan juga multinasional. Program ini juga akan menarik lebih banyak perusahaan untuk menjalankan operasi di Selangor dan meningkatkan tahap ekonomi mereka. Dengan adanya pensijilan halal ini kepada premis, produk dan perkhidmatan mereka, secara tidak langsung ianya akan memberikan pemangkin kepada usahawan untuk berkembang dengan memberi nilai tambah dan seterusnya meningkatkan produktiviti mereka. Selain itu, HIS Toyyiba turut melaksanakan satu inisiatif di bawah RS-1, iaitu Authorised HIS Operator yang dilancarkan pada 13 Jun 2023. Program ini adalah untuk menghubungkan keseluruhan ekosistem Halal dengan memastikan ke arah memastikan kebolehkesanan dan jaminan Halal di seluruh rantaian bekalan dalam ekosistem Halal.

    Negeri Selangor merupakan negeri yang mempunyai pemegang SPHM tertinggi di Malaysia. Berdasarkan kepada dapatan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), jumlah permohonan SPHM Negeri Selangor 2023 adalah sebanyak 5,099. Daripada permohonan SPHM tersebut, 79% pemohon adalah terdiri daripada PMKS manakala 21% adalah pemohon multinasional. Melalui program ini, dijangka akan dapat merancakkan permohonan SPHM dan meningkatkan lagi peratus kelulusan SPHM di Selangor.

    Bagi sektor kewangan Islam pula, Kerajaan Negeri melalui Hijrah Selangor, Selangor Advance dan beberapa insititusi kewangan tempatan ada memberikan kemudahan kredit kepada pemain industri bagi meningkatkan aliran tunai serta membantu mereka menambah modal bagi mengembangkan perniagaan. HIS Toyyiba juga telah mengadakan kerjasama strategik bersama institusi kewangan tempatan iaitu Bank Islam, yang menyediakan peruntukkan sehingga RM300 juta kepada usahawan untuk pembiayaan perniagaan dalam industri Halal.

    Melalui kerjasama tersebut juga, beberapa pakej ditawarkan termasuk latihan dan bimbingan bagi SPHM. Disamping dapat membantu usahawan meningkatkan kapasiti untuk menyumbang kepada ekonomi negeri, Kerajaan Negeri juga dapat menggalakkan usahawan mengadaptasi sistem kewangan Islam agar menjamin ekosistem halal patuh syariah.

    Untuk media dan rekreasi, Selangorkini memberi sokongan penuh semua program utama Kerajaan Negeri termasuk perkembangan ekonomi negeri dan industri halal. Selain menerbitkan kenyataan YB EXCO, Media Selangor membantu mempromosikan inisiatif Halal Negeri Selangor.

    Media Selangor juga menyediakan publisiti kepada usahawan Halal Selangor untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka. Ini membolehkan produk-produk usahawan Halal Selangor dikenali umum.
    Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor mewujudkan program inisiatif bagi menggalakkan pelancong tempatan dan antarabangsa menjadikan Negeri Selangor sebagai destinasi pelancongan halal atau ‘Halal Tourism’ melalui inisiatif seperti berikut:-

    i.Penyediaan Pakej Pelancongan Halal yang melibatkan produk pelancongan di sembikan (9) daerah dan 12 PBT Negeri Selangor;

    ii. Bekerjasama erat dengan Islamic Tourism Centre of Malaysia (ITC), di bawah Kementerian Pelancongan melalui Muslim-Friendly Accommodation Recognition (MFAR) yang berfungsi mempromosi keunikan dan keistimewaan pelancongan mesra Muslim, memupuk pemahaman kepelbagaian budaya, dan mempamerkan keindahan pelancongan Islam;

    iii. Menyertai program dan misi promosi di persidangan serta pameran pelancongan antarabangsa yang memfokuskan industri pelancongan mesra muslim dan halal seperti di ATM (Arabian Travel Market) di Dubai ; dan

    iv. Menganjurkan kempen pengiklanan yang memfokuskan kepada digital, media sosial dan atas talian.

Lampiran

Tiada Lampiran.