Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

348) PERSEMPADANAN SEMULA KAWASAN PILIHANRAYA

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya?

    Menurut Perkara Ke-13, Bahagian 8, Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah perlu mengkaji kawasan-kawasan Pilihan Raya Dewan Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan dan kajian tersebut hendaklah disiapkan dalam tempoh yang tidak melebihi dua tahun dari tarikh bermulanya kajian semula itu.

    Manakala secara asasnya, Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan menggariskan 4 prinsip utama yang menjadi asas kepada kajian semula bahagian-bahagian pilihan raya.

    Antaranya termasuk sempadan yang tidak merentasi negeri, kemudahan pentadbiran bagi tujuan pendaftaran dan pengundian, bilangan pemilih di setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu negeri patutlah lebih kurang sama, serta pemeliharaan hubungan tempatan.

    Umum mengetahui bahawa kali terakhir penyemakan semula kawasan Pilihan Raya Negeri Selangor dilaksanakan pada tahun 2018, dan kajian tersebut bermula antara tahun 2016 dan 2017.

    Kini, beberapa aspek perlu diambil kira termasuk peningkatan penduduk di negeri Selangor yang sudah mencecah 7 juta penduduk, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Dengan perkembangan kawasan-kawasan yang sudah berkembang pesat, prinsip-prinsip utama yang saya tekankan tadi iaitu bilangan pengundi di setiap kawasan hendaklah lebih kurang sama, saya berpendapat bahawa kita harus terbuka kepada proses itu bagi memastikan perkhidmatan Kerajaan dapat disalurkan dengan efektif mengikut kawasan-kawasan serta peranan wakil-wakil rakyat.

    Namun, Kerajaan Negeri belum berbincang perkara ini secara rasmi dan kajian seharuslah dibuat berdasarkan bukan sekadar jumlah penduduk hari ini tetapi dengan unjuran penduduk yang bertambah serta migrasi penduduk dari negeri lain yang berpindah ke Selangor atas faktor peluang ekonomi yang lebih tinggi.

Lampiran

Tiada Lampiran.