Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
346) PENGGANTIAN PAIP-PAIP LAMA
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Prestasi Air Selangor dari aspek mengganti paip-paip lama setiap tahun dilaporkan merosot dalam tahun 2021 dan 2022 dengan jumlah penggantian masing-masing sejauh 96.8 km dan 65.5 km sahaja berbanding dengan sasaran Air Selangor sejauh 150 km setahun. Apakah punca kegagalan?
Untuk makluman, Air Selangor menyasarkan penganugerah kontrak penggantian paip usang sepanjang 150 km setiap tahun dan kebiasaannya proses penyiapan penggantian paip ini memakan masa selama 1.5 ke 2 tahun. Menjawab kepada soalan yang diberikan, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada pengurangan jumlah penggantian paip lama dalam tahun 2021 dan 2022 iaitu:
i. Pasca Pandemik Covid-19
Pasca pandemik Covid-19 telah memberikan implikasi kepada kontraktor daripada segi kenaikan harga barang dan kos pembinaan yang ketara. Proses bagi meneliti permohonan-permohonan pelarasan harga daripada kontraktor yang terkesan perlu dibuat secara teliti dan mengambil masa bagi dimuktamadkan. Selain itu, pihak kontraktor juga menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja, terutama yang melibatkan buruh asing.ii. Proses kelulusan permit korekan yang mengambil masa yang lebih lama
Sebelum tahun 2022, permohonan permit korekan bagi kerja-kerja penggantian paip lama oleh Air Selangor boleh dibuat terus kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi kelulusan. Bermula pada 1 Februari 2022, kesemua permohonan permit korekan perlu dibuat kepada pihak Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) sebagai agensi ‘One Stop Centre’ (OSC) sebelum permohonan permit korekan tersebut dimajukan dan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Melulus (PBM).Air Selangor menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri bagi menyelaraskan permohonan permit korekan di bawah satu agensi bagi membangunkan pengurusan koridor utiliti yang yang lebih efisien, profesional dan bersepadu untuk Negeri Selangor dengan membina pangkalan data utiliti berpusat.
Walau bagaimanapun, pada peringkat awal pelaksanaan arahan baru ini, terdapat banyak prosedur tambahan yang perlu diselaraskan bersama pelbagai pihak, contohnya melibatkan pematuhan kepada keperluan penyediaan pelan ukur, pelan pengesanan utilti (utility detection mapping) mengikut format KUSEL serta caj-caj tambahan penyewaan peralatan pengurusan trafik. Kesemua pelan-pelan ukur dan pengesanan utiliti yang telah melebihi enam (6) bulan juga perlu dibuat semula oleh jurukur panel yang dilantik oleh KUSEL dan ia mengambil masa untuk disiapkan.
Keperluan bagi mematuhi prosedur tambahan ini telah menyebabkan pakej-pakej penggantian paip lama tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual dan mengalami kelewatan. Air Selangor telah bekerjasama rapat dengan KUSEL bagi menyelaraskan permohonan permit di peringkat reka bentuk dan mengadakan mesyuarat berkala setiap dua minggu bagi memastikan proses pengeluaran permit dapat dipercepatkan.
iii. Proses Kelulusan PAAB
Penggantian paip-paip lama oleh Air Selangor juga meliputi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sepanjang 42.9 km menggunakan dana Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Namun begitu, proses peniliaian bagi melaksanakan program penggantian paip di bawah PAAB mengambil masa lebih panjang berbanding proses penilaiaan bagi program tersebut di Negeri Selangor.Dalam mendapatkan kelulusan PAAB, Air Selangor perlu melalui beberapa proses penilaian teknikal dan komersial, pengeluaran Project Execution Letter (PEL), pematuhan teknikal/ulasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sesi libat urus. Kesemua reka bentuk bagi projek penggantian paip lama dan dokumen tender telah pun disiapkan oleh Air Selangor dan dikemukakan kepada pihak PAAB bagi proses tender.
Untuk makluman, bagi tahun 2024, Air Selangor telah meningkatkan sasaran bagi kerja-kerja penggantian paip usang daripada 150 km kepada 300 km setahun; iaitu dua kali ganda daripada sasaran sebelum ini; dengan langkah-langkah berikut:
Langkah Pertama: Permohonan Permit Korekan Dibuat Lebih Awal
Sebelum ini, permohonan permit korekan oleh Air Selangor dikemukakan kepada Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) hanya selepas kontraktor bagi pakej-pakej penggantian paip dilantik oleh Air Selangor. Hal ini telah menyebabkan kontraktor lantikan Air Selangor terpaksa menunggu satu tempoh masa yang agak lama untuk pihak KUSEL melaksanakan kerja-kerja ukur (survey works), pelan pengesanan utiliti (atau utility detection mapping (UDM)), penyediaan dokumentasi kepada Pihak Berkuasa Melulus (PBM) dan seterusnya membuat perubahan berdasarkan kepada ulasan-ulasan dari PBM – sebelum permit korekan diangugerahkan.
Oleh itu, bagi tahun 2024, Air Selangor akan mengambil langkah lebih proaktif dengan mengemukakan permohonan permit korekan lebih awal kepada pihak KUSEL – iaitu sebelum kontraktor dilantik dengan menggunakan reka bentuk awalan (basic design proposal) sahaja dalam usaha memendekkan masa menunggu bagi mendapatkan kelulusan permit korekan dari KUSEL. Dokumen permohonan seperti insuran pula akan menggunakan master policy oleh Air Selangor terlebih dahulu dan digantikan dengan insuran kontraktor selepas pelantikan kontraktor dibuat. Perbincangan bersama KUSEL telah pun dibuat dan secara dasarnya, KUSEL tiada halangan dengan cadangan ini.
Apabila langkah ini dilaksanakan, kerja-kerja ukur (survey works) dan UDM akan dapat dibuat lebih awal oleh pihak KUSEL sebelum reka bentuk terperinci disiapkan oleh perunding dan pelantikan kontraktor dibuat oleh Air Selangor. Ini akan dapat mengelakkan proses reka bentuk semula yang akan mengambil masa dan mengakibatkan perubahan harga yang perlu dirunding semula bersama pihak kontraktor yang mana terdapat kes pakej penggantian paip lama terpaksa dibatalkan kerana melibatkan perubahan skop dan harga yang signifikan selepas mendapat ulasan daripada jurutera perunding projek.
Langkah Kedua: Memendekkan Tempoh Penyiapan Pelan Ukur, Pelan Pengesanan Utiliti (UDM) dan Pelan Pengurusan Trafik oleh Pihak KUSEL.
Kerajaan Negeri pula menerusi KUSEL akan memastikan kontraktor panel yang dilantik adalah mencukupi dan dapat menyiapkan kerja-kerja penyediaan pelan dalam tempoh masa yang pendek.
Langkah Ketiga: Mengadakan Sesi Libat Urus Awal bagi Projek-Projek Akan Datang Bersama KUSEL/PBM
Mengadakan sesi libat urus bersama kesemua pihak yang terlibat menggunakan senarai awal sebelum memuktamadkan senarai lokasi penggantian paip usang bagi mendapatkan persetujuan awal (buy-in) berkaitan cadangan lokasi yang terlibat.
Langkah Keempat: Memberikan Tempoh dan Syarat Permit Korekan Yang Lebih Praktikal
Proses kelulusan permit korekan oleh KUSEL dan PBM perlu dikeluarkan dalam jangka masa yang lebih singkat, dan syarat-syarat permit yang minima serta tempoh laku permit yang lebih lama.
Sekiranya tempoh laku permit korekan yang diluluskan adalah terlalu singkat (antara satu ke tiga bulan), ianya akan menyebabkan banyak gangguan kemajuan kerja di tapak yang mana pihak kontraktor terpaksa berhenti kerja (demobilisation) buat sementara waktu bagi menunggu kelulusan penyambungan permohonan pembaharuan permit korekan.
Tiada sekatan permit korekan berdasarkan kepada jumlah projek di suatu kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT). Ini kerana terdapat kawasan yang menghadkan permit korekan, iaitu kontraktor perlu menyiapkan sepenuhnya projek di jajaran pertama sebelum permit korekan untuk jajaran kedua akan dikeluarkan. Kekangan ini akan meyebabkan pakej-pakej penggantian paip tidak dapat dilaksanakan serentak dan menyebabkan kemajuan pelaksanaan projek mengalami kelewatan.
Langkah Kelima: Mengadakan Menyuarat Penyelarasan Secara Berkala Bersama KUSEL
Mengadakan mesyuarat penyelarasan secara berkala bagi setiap dua minggu untuk membincangkan status permohonan dan kelulusan permit serta menyelesaikan sebarang isu yang timbul dengan segera.
Membincangkan sebarang ulasan dan syarat-syarat permit daripada pihak PBM.
Langkah Keenam: Mendapatkan Sokongan daripada Pihak-Pihak Yang Berkepentingan (seperti Ketua-ketua Penduduk, Ahli Majlis dan Wakil Rakyat)
Ini bagi memastikan tiada kekangan kepada kontraktor yang telah bersedia untuk melaksanakan kerja-kerja penggantian paip disebabkan bantahan ataupun permintaan daripada pihak berkepentingan yang di luar skop kerja.
Untuk makluman tambahan, bagi tahun 2020 dan 2023, kemajuan kerja fizikal bagi Projek Penggantian Paip 2020 dan 2023 berdasarkan bajet tahunan adalah seperti berikut:
Bagi 2020
Panjang paip dianugerahkan adalah 92.16 km;
Panjang paip dipasang pula adalah 76.58 km;
Manakala, panjang paip ditauliahkan adalah 47.29 km.Bagi 2023
Panjang paip dianugerahkan adalah 92.46 km;
Panjang paip dipasang pula adalah 0 km;
Manakala, panjang paip ditauliahkan adalah 0 km.Untuk makluman, pelantikan kontraktor bagi Projek Penggantian Paip di bawah bajet 2023 hanya dapat dianugerahkan pada suku tahun ketiga 2023, dan ia masih di peringkat permohonan permit dan kerja-kerja awalan yang telah menyebabkan penangguhan kerja-kerja pemasangan/penukaran paip bagi tahun tersebut.