Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

339) ISU ROKOK ELEKTRONIK ATAU VAPE

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Mu'izzuddeen Bin Mahyuddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pendirian Kerajaan Negeri terhadap gejala menghisap vape atau rokok elektronik dari sudut kesihatan?

    Masalah merokok dalam kalangan golongan produktif terus menjadi beban utama akibat penambahan perokok baru dan produk baru rokok. Di Malaysia, satu kajian yang dibuat oleh Institut Kesihatan Umum (IKU) pada tahun 2022 menunjukkan peningkatan ketara peratus pengguna rokok elektronik atau vape dalam kalangan dewasa serta remaja yang berumur 13 tahun hingga 17 tahun, iaitu daripada 9.8% (2017) kepada 14.9% (2022).

    Tabiat menghisap rokok elektronik atau vape bagi jangka masa panjang boleh mengakibatkan perokok menghidap penyakit E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI) yang menunjukkan beberapa gejala seterusnya mengakibatkan komplikasi serius. Ini adalah disebabkan bahan cecair yang digunakan pada vape merupakan racun nikotin yang turut terdapat pada rokok.

    Selain itu, menghisap vape juga mampu memberi kesan kepada kesihatan mental atau psikososial dan risiko kecedaraan akiat letupan bateri produk vape.

    Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Selangor berpendirian bahawa budaya menghisap vape adalah merupakan gaya hidup yang tidak sihat, bukan sahaja kepada individu yang menghisapnya, malah kepada orang sekeliling. Langkah progresif dan efektif perlu dilaksanakan segera dalam menangani gejala menghisap vape terutama di kalangan remaja dan kanak-kanak. Ini termasuk dalam aspek penguatkuasaan penjualan vape kepada golongan remaja dan kanak-kanak, meningkatkan aspek advokasi berhubung risiko penggunaan vape serta memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menangani isu ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.