Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
325) PENIAGA WARGA ASING
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Warga Asing & Hal Ehwal Luar Negeri
Adun: Y.B. Datuk Seri Jamil Bin Salleh
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan pihak PBT tangani warga asing berniaga di kedai-kedai runcit, makanan sehingga memproses penyembelihan ayam hidup di kaki lima di mana tiada pantauan yang dilakukan seperti di Putra Perdana, Taman Dengkil Jaya, Sungai Merab dan Abu Bakar Baginda?
Bagi menangani masalah warga asing di kedai rucit, kedai makan yang mana boleh dikatakan warga asing ini mempunyai premis perniagaan, ada dua perkara yang dilihat dan dibawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan ialah sama ada premis perniagaan tersebut mempunyai lesen atau tidak mempunyai lesen.
Bagi premis perniagaan ini yang tidak mempunyai lesen, pihak MPSepang boleh mengambil tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred Perniagaan dan Perindustrian PBT di bawah kesalahan perniagaan tidak mempunyai lesen yang sah daripada PBT. Kesalahan ini membolehkan MPSepang mengambil tindakan seperti:
i.Kompaun tidak melebihi daripada RM1000.00.
ii.Menyita barangan perniagaan.
iii.Menutup premis tersebut.Bagi premis perniagaan yang mempunyai lesen perniagaan adalah tidak menjadi halangan jika warga asing ini melaksanakan perniagaan. Walaupun begitu oleh kerana isu ini telah menjadi isu rakyat Malaysia, pihak MPSepang akan memperketatkan kawalan perniagaan ini. Dimana perniagaan ini perlu mematuhi syarat-syarat lesen secara ketat. Jika berlaku sebarang pelanggaran syarat lesen maka perniagaan ini boleh dilucutkan hak pelesenan mereka dan tindakan penguatkuasaan lain boleh dilaksanakan seperti di perenggan 1.
Untuk makluman, di MPSepang, pihak kami akan mula membina satu pangkalan data atau maklumat bagi perniagaan seperti disebut dalam soalan YB Dengkil untuk tujuan menyenaraikan premis-premis perniagaan berlesen yang mempunyai “pekerja” warga asing atau lebih popular disebut sebagai “perniagaan lesen terbang”. Oleh kerana MPSepang tidak mempunyai bidang kuasa bagi memeriksa permit-permit kerja bagi warga asing ini, adalah amat penting pangkalan data ini diwujudkan agar MPSepang dapat berkongsi data ini dengan pihak Imgresen. Maka pihak jabatan Imgresen boleh membuat tindakan semakan berdasarkan maklumat yang diberikan kepada mereka.
Mungkin tindakan ini akan memakan masa tetapi tindakan-tindakan ini sedang berjalan di MPSepang dan data ini dikongsikan dengan Jabatan Imgresen. Bagi tindakan Penguatkuasaan MPSepang, tindakan kawalan ini sentiasa berjalan dan pemeriksaan pelesenan premis sentiasa dijalankan setiap tahun.
Jika mempunyai maklumat seperti disebut YB Dengkil yang mana terdapat perniagaan warga asing di Taman Putra Perdana, Taman Dengkil Jaya, Sungai Merab dan Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, MPSepang berharap agar dapat berkongsi maklumat tersebut agar tindakan pemeriksaan dan penguatkuasaan dapat dijalankan. MPSepang amat mengalu-alukan maklumat-maklumat ini agar masalah ini lebih cepat dapat diatasi dan dikawal.