Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

320) KECICIRAN PELAJAR

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan statistik keciciran pelajar di Negeri Selangor, dan 3 daerah yang mengalami keciciran yang tertinggi.

    JPN Selangor memandang serius isu keciciran murid yang berlaku dan sentiasa komited dalam merancang serta melaksanakan pelbagai intervensi yang bersesuaian bagi memastikan semua murid mendapat akses kepada pendidikan berkualiti. Data yang diperolehi daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berdasarkan borang ASBS di dapati bahawa seramai 528 orang murid telah dikenalpasti cicir dan telah ditempatkan semula ke sekolah. Pecahan kes adalah seperti berikut:

    Berdasarkan data, berikut merupakan 3 PPD yang dikenalpasti yang tertinggi murid cicir di Negeri Selangor adalah seperti berikut:
    PPD Hulu Langat : 190 orang
    PPD Kuala Langat : 107 orang
    PPD Gombak : 40 orang

  2. Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk membantu pelajar tercicir dan keluarga mereka?

    JPN Selangor telah melaksanakan pelbagai program / kaedah bagi menangani keciciran murid. Antara program / kaedah yang telah dilaksanakan adalah:

    a. Mewujudkan jawatankuasa Penyiasatan Murid Cicir (JPMC) di peringkat JPN, PPD dan sekolah.
    b. Ziarah Cakna dan Ziarah Komuniti yang melibatkan ketua komuniti setempat seperti ketua kampung, pengerusi JKK dan lain-lain.
    c. Program Outreach Komuniti untuk mengesan murid cicir yang melibatkan JPN, PPD, agensi luar, NGO, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) PDRM dan pegawai KPM.
    d. Berkolaboratif dengan pusat jagaan bagi memastikan murid yang tinggal di pusat jagaan tidak tercicir.
    e. Intervensi murid berisiko cicir dengan menggunakan Modul SUDI oleh guru bimbingan dan kaunseling di sekolah. – Penjelasan: Modul Serlahkan Keunggulan Diri (SUDI) yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi tujuan pencegahan dan intervensi murid cicir.

    AP
    a) Jabatan Pendidikan Negeri Selangor melaporkan bahawa pada tahun 2023 keciciran murid di peringkat sekolah rendah, direkodkan pada kadar 0.07 peratus. Di peringkat menengah pula tiada keciciran direkodkan atau 0.00 peratus. Data pecahan statistik keciciran murid tidak diselenggara mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri atau DUN. Data berdasarkan Pejabat Pendidikan Daerah yang mencatatkan keciciran murid tertinggi adalah seperti berikut:

    -PPD Klang : 20.7 peratus
    -PPD Hulu Langat : 18.7 peratus
    -PPD Gombak : 12.6 peratus

    b) Kerajaan Negeri Selangor maklum berhubung 13 inisiatif sedia ada di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia bagi menangani isu keciciran pelajar daripada pendidikan rendah dan menengah di seluruh negara termasuk di Selangor berdasarkan faktor-faktor yang telah dikenalpasti di peringkat Kementerian antaranya tidak berminat ke sekolah, perlu bekerja dan masalah keluarga.

    Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2024, akan meneruskan lagi Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI untuk membantu pelajar yang memperolehi keputusan yang sederhana atau lemah dan dari keluarga berpendapatan rendah. Melalui program ini para pelajar diberi bantuan bimbingan akademik yang dilaksanakan secara konsep tutorial di mana kelemahan pelajar dapat dikenalpasti dan dibimbing dengan kaedah yang lebih sesuai dan praktikal memandangkan pembelajaran dilaksanakan dalam kumpulan yang lebih kecil.

    Kerajaan Negeri turut memberikan insentif kepada para pelajar yang mengikuti Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dengan menyediakan pek makan tengah hari sebagai galakan untuk mereka terus memberi komitmen kepada sesi pembelajaran formal di sekolah. Bantuan ini dilihat mampu mengurangkan keciciran pelajar yang berpunca daripada faktor kemiskinan dan tidak berminat untuk belajar.

    Disamping itu, Kerajaan Negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) turut menyediakan Bantuan Kembali Ke Sekolah dengan sumbangan tunai berjumlah RM100 seorang pelajar. Sempena bermulanya sesi persekolahan Tahun 2024, Kerajaan Negeri menyasarkan 16,800 orang pelajar di 56 Kawasan Dewan Undangan Negeri atau DUN.

    Kerajaan Negeri juga akan meneruskan Program Bantuan Masuk Sekolah. Pada tahun 2024, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) menyasarkan bantuan agihan beg sekolah, kelengkapan alat tulis, bekas makanan dan tabung kepada 36,326 ahli

    Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) bagi meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak memasuki Darjah Satu.

    Kerajaan Negeri Selangor juga sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh semua pihak dalam menangani isu pelajar sekolah rendah dan menengah di Selangor yang keciciran.

Lampiran

Tiada Lampiran.