Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
313) GERAN PENYELIDIKAN UNISEL
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Mohon pihak Kerajaan Negeri senaraikan geran-geran penyelidikan yang dikeluarkan oleh pihak Kerajaan Negeri kepada institut pengajian tinggi di Negeri Selangor khususnya UNISEL bagi tahun 2022 dan 2023.
Pada tahun 2022, sebanyak tiga (3) geran berjumlah RM286,000.00 daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) telah dilaporkan diterima oleh UNISEL. Manakala pada tahun 2023, sebanyak lapan (8) geran berjumlah RM720,910.00 daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) telah dilaporkan diterima oleh UNISEL. Senarai disertakan dalam Lampiran.
-
Dan nyatakan apakah hasil timbal balik geran penyelidikan ini untuk kemajuan Negeri Selangor.
Bagi geran-geran yang diterima pada tahun 2022, dua (2) geran berkenaan lebih berunsur kepada projek pembangunan fizikal dan amalan yang kurang berunsur penyelidikan. Manakala Program ICT Boot Camp 2022 (ICTBC 2022) untuk Pelajar Sekolah dan Pelajar IPT Negeri Selangor merupakan geran dari Kerajaan Negeri Selangor di bawah Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembudayaan Inovasi dan SMART Selangor ketika itu.
Program ini menggunakan pendekatan rekacipta yang menjana kreativiti dan inovasi bagi mewujudkan bangsa Malaysia yang berbudaya saintifik dan progresif, mempunyai daya cipta tinggi dan memandang kehadapan, dengan bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga menyumbang kepada pembangunan tamadun sains dan teknologi masa depan. Program ini adalah percuma dan di bawah tajaan penuh geran Jawatankuasa Tetap Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor dengan kerjasama Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Perkomputeran, UNISEL dan Selangor Technical Development Centre (STDC). Program ini khusus untuk menghasilkan pelajar-pelajar yang berupaya membangunkan aplikasi digital seiring dengan inspirasi Smart Selangor yang lebih berketrampilan dalam teknik pengajaran secara fizikal.
Sebanyak lapan belas (18) buah sekolah menengah dan tiga (3) IPT dengan seramai 439 peserta daripada enam (6) daerah negeri Selangor telah terlibat dalam program ICTBC2022. Penyertaan ini melibatkan 363 pelajar sekolah dan tujuh puluh enam (76) pelajar IPT. Jumlah penyertaan kali ini adalah melebih sasaran awal peserta iaitu sebanyak 420 peserta melibatkan 360 pelajar sekolah dan enam puluh (60) pelajar IPT.
Manakala lapan (8) buah geran yang diterima pada tahun 2023 lebih berunsur penyelidikan, sesuai dengan nama geran tersebut iaitu Geran Penyelidikan Negeri Selangor. Hasil timbal balik geran-geran penyelidikan ini untuk kemajuan Negeri Selangor adalah:
i. Melestarikan tempat pelupusan sampah dengan mengenalpasti microbes yang boleh mempercepat pereputan plastik terbiodegradasi;
ii. Melestarikan tanah sawah padi dengan mengenalpasti microbes yang boleh membantu menyuburkan tanah sawah padi;
iii. Merancakkan eco-tourism di Selangor dengan menelusuri kesan pengalaman dan kepercayaan terhadap media sosial dan persekitaran.
iv. Pembangunan model pendidikan tidak formal di kalangan pelajar sekolah rendah di Selangor.
v. Penghasilan bekas makanan terbiodegradasi daripada sisa sawit di Selangor.
vi. Kajian terhadap penglibatan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Selangor dalam mempraktis amalan mesra alam.
vii. Pembentukan model konsep pembungkusan terbiodegradasi mesra alam di kalangan pengendali makanan di Selangor
viii. Pertimbangan pihak berkuasa tempatan berkaitan fungsi alam sekitar berkenaan guna-semula, polisi dan hubungan pengguna.