Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

289) TEROWONG KE MATANG PAGAR & TAMAN IMPIAN INDAH

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Dato' Dr. Halim Bin Tamuri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bilakah kerja baik pulih Terowong Matang Pagar - Taman Impian Indah dimulakan?

    Untuk makluman Yang Berhormat, di atas kegagalan pihak Persatuan Kuari menyelenggara jalan serta terowong di Matang Pagar seperti yang dijanjikan oleh mereka, dengan ini pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) terpaksa menyediakan peruntukan berjumlah RM 327,084.75 bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih Terowong Matang Pagar – Taman Impian Indah yang dijangka akan dimulakan pada bulan Mei 2024 setelah selesai proses sebutharga terbuka bagi melantik kontraktor.

  2. Apakah status semasa baik pulih yang telah dilakukan bagi mengatasi kerosakan jalan di terowong tersebut?

    Majlis Perbandaran Selayang sentiasa dari semasa ke semasa melaksanakan kerja-kerja baik pulih bagi mengatasi kerosakan jalan di terowong tersebut dan pada 7 Februari 2024 merupakan tarikh terkini Majlis Perbandaran Selayang melaksanakan kerja-kerja pembaikan di jalan tersebut bagi memberi keselesaan kepada penduduk serta pengguna jalan di sekitar kawasan tersebut.

  3. Apakah status kemajuan cadangan laluan khas untuk kegunaan lori-lori kuari?

    Laluan alternatif (cadangan laluan khas) yang boleh digunakan sebagai jalan pengeluaran (lori-lori kuari) telah dikenalpasti yang melibatkan kelarian jalan sedia ada. Laluan alternatif ini, adalah merupakan laluan juga digunakan oleh pihak kuari termasuk penguasaha industri lain yang berada di kawasan sekitar. Walaubagaimanapun, status tanah untuk laluan alternatif tidak dapat dipastikan dan laluan ini juga perlu dinaiktaraf bagi tujuan tersebut. Setakat ini, terdapat rungutan daripada penduduk sekitar bagi penggunaan laluan alternatif ini oleh lori-lori kuari. Selain daripada itu, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) juga tidak mempunyai sebarang punca kuasa untuk melaksanakan tindakan bagi laluan tersebut berikutan kedudukan kawasan yang berada di luar Hutan Simpan Bukit Lagong.

Lampiran

Tiada Lampiran.