Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
256) PELANCONGAN DI BUKIT MELAWATI
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Dato' Noorazley Bin Yahya
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan bercadang untuk memberi geran perniagaan kepada usahawan luar bandar seperti di Bukit Melawati bagi mengusahakan perniagaan bersifat eko-pelancongan?
Kerajaan Negeri Selangor melalui Tourism Selangor dalam perancangan melaksanakan Kajian Pelan Eko-Pelancongan Negeri Selangor yang mana pengisiannya akan menggariskan inisiatif-inisiatif dan kempen-kempen galakan yang akan dijalankan oleh Kerajaan Negeri bagi melestarikan segmen eko-pelancongan ini. Proses melaksanakan kajian ini masih di peringkat awal bagi tujuan permohonan peruntukan dan jika diluluskan, ianya dijangka mula dilaksanakan pada tahun 2025.
-
Apakah langkah dilakukan pihak kerajaan membantu pengusaha pelancongan di Bukit Melawati dalam menarik pelancong mengunjungi kawasan bersejarah di sana?
Antara promosi yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) untuk mempergiatkan promosi produk pelancongan di daerah Kuala Selangor khususnya di Bukit Malawati dan Santuari Kelip-kelip Kg Kuantan adalah seperti berikut:
i. pemberian diskaun harga tiket trem di Bukit Malawati / sampan di Santuari Kelip-kelip Kampung Kuantan sebanyak 20% kepada Kakitangan Agensi Kerajaan dan Pengusaha Pelancongan melalui kempen Promosi ”Jom Bercuti, Pusing Kuala Selangor”;ii. menggalakkan program komuniti dalam memelihara dan memulihara kawasan peninggalan sejarah. Di antaranya adalah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan akitiviti yang melibatkan pelajar sekolah mahupun institusi pendidikan tempatan yang menjalankan kajian berkaitan sejarah;
iii. penyaluran bantuan peruntukan daripada segi peningkatan infrastruktur untuk memastikan ianya dalam keadaan yang baik termasuk jalan raya, kawasan parkir dan kemudahan awam seperti tandas, lampu jalan, taman awam sebagai kawasan riadah dan sebagainya;
iv. mempromosikan Muzium Permainan Tradisional dan Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor di bawah seliaan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) serta produk pelancongan baharu seperti Masjid Raja Lumu dan Laluan Seni Pekan Lama Kuala Selangor sebagai nilai tambah di Bukit Malawati untuk menarik lebih ramai lagi pengunjung ke Kawasan tersebut terutamanya pada hujung minggu dan cuti umum.