Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
237) PENYELESAIAN ISU HAKMILIK STRATA
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan status hakmilik strata pangsapuri di DUN Kampung Tunku: Residency Park 51 @Park 51 Residency (Lot 23513), Impian Seri Setia (Lot 23514) dan Boulevard 51 @Park 51 (Lot 23515).
Untuk makluman Yang Berhormat Kampung Tunku, Status Residency Park 51 @Park 51 Residency (Lot 23513)
Hakmilik : PN 111705 Lot 23513
Bandar/ Daerah : Bandar Petaling Jaya, Petaling
Status : i. Pemaju tanah telah mengemukakan Permohonan Pecah Bahagi Bangunan untuk Pengeluaran Hakmilik Strata melalui Jurukur Tanah Berlesen iaitu Jurukur Sutera pada Disember 2020;ii. Walaubagaimanapun, permohonan tersebut telah dikuiri berikutan penyediaan dokumen tidak lengkap dan tidak teratur. Surat kuiri telah dikeluarkan pada Januari 2021;
iii. Sehingga catatan ini direkodkan masih tiada Permohonan Pecah Bahagi Bangunan untuk Pengeluaran Hakmilik Strata daripada pihak pemaju.
Status Impian Seri Setia (Lot 23514)
Hakmilik : PN 97427 Lot 23514
Bandar/ Daerah : Bandar Petaling Jaya, Petaling
Status : i. Pemaju tanah telah mengemukakan Permohonan Pecah Bahagi Bangunan dan Permohonan Meminda Syarat Nyata untuk skim ini pada untuk Pengeluaran Hakmilik Strata melalui Jurukur Tanah Berlesen iaitu Jurukur Sutera pada April 2015;ii. Permohonan Meminda Syarat Nyata telah diluluskan oleh YAB Menteri Besar pada Disember 2016;
iii. Notis 7G telah dikeluarkan kepada pihak pemaju untuk tujuan bayaran premium tambahan pada Januari 2017;
iv. Pemaju membuat rayuan mohon lanjut tempoh Notis 7G pada Mei 2017, walaubagaimanapun permohonan tersebut telah ditolak pada Jun 2017;
v. Sehingga kini pemaju masih belum menjelaskan premium tambahan tersebut.
Status Boulevard 51 @Park 51 (Lot 23515)
Hakmilik : Lot 23515
Bandar/ Daerah : Bandar Petaling Jaya, Petaling
Status : i. Tiada Permohonan Pecah Bahagi Bangunan untuk Pengeluaran Hakmilik Strata dikemukakan oleh pemaju;ii. Lot tanah tersebut didapati tiada hakmilik muktamad (final tittle) sedangkan permohonan ukur kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia Cawangan Negeri Selangor (JUPEM) telah selesai pada tahun 2017.
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk mempercepatkan pengeluaran hak milik strata?
Pengeluaran hakmilik strata dianggarkan mengambil masa selama 6 bulan daripada tarikh Permohonan Pecah Bahagi Bangunan sehingga Pendaftaran Hakmilik Strata. Tempoh tersebut tidak mengambil kira masa yang diperlukan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia Cawangan Negeri Selangor (JUPEM) bagi pengeluaran pelan hakmilik strata dan juga mengambil kira komitmen juruukur yang dilantik oleh pemilik tanah atau pemaju.
Selain itu, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) dalam usaha menubuhkan Pasukan Petugas Khas Penyelesaian Skim Strata Negeri Selangor bertujuan untuk bertanggungjawab melaksanakan tugas-tugas menyelesaikan isu dan pemasalahan yang dihadapi oleh skim-skim strata yang belum dikeluarkan hakmilik termasuk mengenalpasti, menyiasat, membuat kajian dan lawatan tapak serta melaksanakan tindakan undang-undang di bawah Kanun Tanah Negara dan Akta Hakmilik Strata serta undang-undang yang berkaitan. Ia juga akan merangka, merancang serta melaksanakan sebarang tindakan dari semasa ke semasa bergantung kepada persekitaran, perubahan undang-undang dan kes-kes.
Kertas cadangan Pasukan Petugas Khas Penyelesaian Skim Strata Selangor, ini sedang dalam pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi memastikan pelaksanaan cadangan tersebut dapat memenuhi kehendak perundangan sedia ada dan menyelesaikan isu – isu skim strata yang tiada hakmilik.