Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

234) SUBSIDI IVF

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk membantu golongan wanita muda dengan pemberian "one-off" / subsidi bagi rawatan IVF?

    Jawapan ini akan dijawab bersekali dengan jawapan soalan no 8 daripada Yang Berhormat Pandamaran dan no 178 daripada Yang Berhormat Bukit Gasing
    Kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menawarkan rawatan Persenyawaan in Vitro (IVF) dengan kos paling rendah iaitu dianggarkan bermula sekitar RM8,000.00, dengan kadar penjimatan antara 100 hingga 500 peratus berbanding rawatan di fasiliti swasta. Terdapat 3 klinik subfertiliti LPPKN yang menyediakan rawatan tersebut bertempat di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

    Selain itu, pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 yang diberikan ke atas perbelanjaan merangkumi kos rawatan kesuburan, di bawah pelepasan cukai pendapatan untuk rawatan perubatan penyakit serius. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut membenarkan ahli yang menghadapi masalah kesuburan untuk membuat pengeluaran daripada Akaun 2 bagi membiayai kos rawatan Persenyawaan in Vitro (IVF).
    Kerajaan Negeri akan mengambil langkah untuk mengkaji pemberian subsidi bagi rawatan IVF mengikut keperluan semasa rakyat di negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.