Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
225) PEMBUANGAN SAMPAH SECARA HARAM DI LUAR KAWASAN OPERASI PIHAK BERKUASA TEMPATAN
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sejauh mana aktiviti pembuangan sampah secara haram oleh peniaga dan penduduk kampung telah dikenal pasti oleh Pihak Berkuasa Tempatan?
Kebanyakan pembuangan sampah secara haram berpunca daripada sikap segelintir penduduk dan peniaga yang tidak bertanggungjawab membuang sampah merata-rata. Kontraktor kutipan sampah swasta yang dilantik sendiri oleh peniaga atau pengusaha industri juga ada yang mengambil langkah mudah membuang sampah di kawasan yang tidak sepatutnya untuk mengurangkan kos pengurusan mereka. Terdapat juga segelintir pemilik lot tanah melakukan penambakan di tanah persendirian menggunakan sisa binaan menyebabkan lori-lori lain turut membuang sisa bercampur di tanah tersebut.
-
Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan untuk membanteras kegiatan tersebut?
Pihak PBT sentiasa menjalankan pemantauan dan menguatkuasakan Undang-Undang Kecil (UUK) berkaitan seperti UUK Pemungutan, Pembuangan, Dan Pelupusan Sampah Sarap dan UUK Jalan, Parit dan Bangunan. Selain itu, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) turut mengambil tindakan melalui peruntukan pelanggaran syarat nyata tanah di bawah Seksyen 127, Kanun Tanah Negara. Bagi kawasan hotspot pembuangan sampah haram, pemantauan dilaksanakan secara berkala oleh PDT dan PBT serta terdapat juga kawasan yang dipasang dengan CCTV bagi tujuan pemantauan.