Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

224) TANAH WAKAF YANG DIDAFTARKAN DI PERBADANAN WAKAF SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah keluasan tanah wakaf yang didaftarkan di Perbadanan Wakaf Selangor?

    Keseluruhan hartanah wakaf yang telah didaftarkan atas nama Majlis Agama Islam Selangor (Wakaf) sejak awal penubuhan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) sehingga 31 Disember 2023 adalah berkeluasan 1,813.39 ekar.

  2. Apakah perancangan terhadap pemajuan tanah-tanah tersebut?

    Pihak PWS mengkategorikan pemajuan tanah-tanah wakaf kepada kategori untuk tujuan seperti berikut:-

    1. Pembangunan Ekonomi

    Merupakan pembangunan yang dirancang oleh PWS bagi tanah-tanah wakaf yang terletak di kawasan yang strategik dan boleh dibangunkan terus berdasarkan kepada zoning semasa pihak berkuasa tempatan. Pada masa kini PWS sedang melaksanakan 3 projek pembangunan perumahan di Meru Klang, 4 projek pembangunan stesen minyak iaitu di Sungai Merab Sepang, Jalan Reko Kajang, Johan Setia Klang dan Shapadu Klang dan 1 projek pembangunan komersil di Sungai Merab Sepang. Hasil manfaat daripada pembangunan ekonomi ini sebahagiannya akan diserahkan kepada penerima manfaat seperti yang diniatkan oleh pewakaf dan sebahagiannya lagi digunakan untuk perkembangan wakaf dan ekonomi umat islam. PWS juga dari semasa ke semasa sentiasa melaksanakan kajian pembangunan / Feasibility Study ke atas tanah-tanah wakaf yang strategik bagi menambah nilai ekonomi tanah-tanah wakaf tersebut.

    2. Pembangunan Sosial

    Merupakan pembangunan tanah-tanah wakaf berbentuk khusus dengan tujuan atau niat yang telah ditetapkan. Pelaksanaan atau peracangan pembangunan di atas tanah wakaf ini adalah bertujuan untuk institusi keagamaan, pendidikan dan kesihatan. Antara perancangan dua (2) pembangunan utama yang sedang dalam tindakan PWS pada masa kini ialah Pembangunan Maahad Intergrasi Tahfiz Sains Selangor (MITSS) di Seksyen 7, Shah Alam yang merupakan sebuah Institusi Pendidikan berteraskan kepada Kurikulum Islam Berintegrasi secara bersepadu dengan menumpukan pendidikan berasaskan sains teknologi dan agama serta Pembangunan Wakaf Centre di Shah Alam yang merupakan mercu tanda pusat setempat wakaf yang memberikan kemudahan lengkap kepada masyarakat untuk berwakaf serta mendapatkan segala maklumat atau perkhidmatan berkaitan harta dan produk wakaf di negeri Selangor.

    3. Penyewaan/Pajakan Tanah-Tanah

    Penyewaan / pajakan tanah-tanah wakaf juga merupakan salah satu alternatif atau aktiviti yang dilaksanakan oleh pihak PWS bagi meningkatkan nilai ekonomi dan manfaat ke atas tanah wakaf. Mana-mana tanah wakaf yang pada masa kini masih belum sesuai untuk dibangunkan atau tanah-tanah kecil telah dimanfaatkan dan disewakan dengan bagi aktivti-aktiviti seperti pertanian dan penternakan. Antara contoh penyewaan yang telah dilaksanakan oleh PWS adalah penyewaan pertanian Nenas di Sungai Merab seluas 4 ekar, dan penyewaan pertanian Rock Melon di Meru Klang seluas 3 ekar serta lain-lain.

    4. Istibdal

    Tanah-tanah wakaf yang tidak dapat dimanfaatkan atau dibangunkan disebabkan faktor lokasi yang tidak sesuai, keluasan yang kecil, berkongsi bahagian/geran tertakluk kepada kelulusan Fatwa dan MAIS akan di Istibdalkan. Tanah-tanah ini akan digantikan dengan tanah / aset yang lebih baik atau sama nilai pasarannya.

  3. Adakah sebarang bantuan kewangan berbantuk geran dari Kerajaan Negeri bagi tujuan pemajuan tanah-tanah tersebut?

    Sehingga kini, bantuan kewangan daripada Kerajaan Negeri bagi tujuan pemajuan tanah-tanah wakaf adalah untuk tujuan khusus sahaja seperti pembinaan dan menyiapkan Masjid, surau dan Maahad Tahfiz di negeri Selangor. Bantuan kewangan tersebut disalurkan ke akaun wakaf khas yang diuruskan oleh PWS.

Lampiran

Tiada Lampiran.