Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

185) JALAN PLB

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Tuan Sallehen Bin Mukhyi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah Kerajaan Negeri ada cadangan untuk memastikan semua jalan-jalan PLB di premix atau diturap?

    AP

    Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan khusus pada setiap tahun untuk projek luar bandar kampung tradisi berjumlah RM2,000,000.00 bagi kerja-kerja baik pulih jalan luar bandar dan RM2,000,000.00 bagi kerja-kerja baik pulih kemudahan awam luar bandar. Peruntukan tersebut disediakan bagi tujuan projek pembangunan luar bandar yang menumpukan kepada kemudahan di bawah seliaan sembilan (9) Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Selangor.

    Pada tahun 2024, Kerajaan Negeri juga meneruskan pelaksanaan Projek Selangor Penyayang (PSP) melalui Pejabat Daerah dan Tanah berdasarkan permohonan yang diterima daripada Ahli Dewan Negeri atau Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri. Sejumlah RM14 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi tujuan baikpulih dan naiktaraf infrastruktur awam dan jalan luar bandar.

    Dalam pada masa yang sama, setiap Pejabat Daerah juga menerima peruntukan MARRIS yang diselia oleh Perbendaharaan Negeri Selangor bagi pelaksanaan projek baikpulih jalan luar bandar selain peruntukan luar bandar daripada Pejabat Kemajuan Desa dan Wilayah Negeri Selangor bagi tujuan sama.

    PDT SABAK BERNAM

    Berdasarkan Pelan Strategik 2024-2028 yang disediakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, perancangan untuk menurap semua jalan luar bandar (Jalan PLB) di bawah senarai penyelenggaraan jalan MARRIS melalui Bahagian Pembangunan PDTSB dicadang untuk dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun secara berperingkat sehingga tahun 2028. Walau bagaimanapun, proses baikpulih dan naiktaraf kepada keseluruhan jalan berturap masih tertakluk kepada jumlah peruntukan MARRIS yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

  2. Berapakah jumlah jalan-jalan PLB yang belum diturap dalam DUN Sabak?

    AP

    Berdasarkan data daripada Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, terdapat 115 jalan luar bandar dengan panjang jalan 101.96 km yang masih belum diturap ianya merangkumi 3 mukim seperti berikut:

    • Mukim Sabak: 36 batang jalan dengan panjang 24.98 km
    • Mukim Pancang Bedena: 36 batang jalan dengan panjang 54.36 km
    • Mukim Sungai Panjang: 43 jalan dengan panjang 22.62 km

    Untuk makluman, jalan-jalan ini adalah merupakan jalan ladang yang tidak sesuai untuk dinaiktaraf ke jalan premix. Antara sebab utama jalan tersebut tidak diturap adalah kerana jalan-jalan ini dilalui oleh jentera berat bagi tujuan mengeluarkan hasil pertanian seperti jentera menuai padi, lori pengangkut padi, dan lori pengangkut kelapa sawit dan struktur asas jalan sedia ada yang lembut dan terdapat parit di bahagian kiri dan kanan jalan. Naiktaraf jalan-jalan ini kepada jalan premix akan menyebabkan kerosakan yang kerap dan membahayakan keselamatan pengguna jalan tersebut.

    PDT SABAK BERNAM

    Jumlah jalan PLB yang belum diturap di DUN Sabak adalah sebanyak 115 jalan merangkumi 36 jalan (54.360 km) di Mukim Panchang Bedena, 36 jalan (24.977 km) di Mukim Sabak dan 43 jalan (22.620 km) di Mukim Sungai Panjang dengan keseluruhan panjang jalan yang terlibat adalah 101.957 km.

    Di antara sebab jalan-jalan tersebut tidak diturap adalah:

    • Jalan tersebut merupakan Jalan Ladang yang digunakan oleh jentera berat seperti jentera pemotong padi, lori mengangkut padi dan lori sawit bagi tujuan mengeluarkan hasil pertanian. Sebahagian jalan ini juga diambilalih tanggungjawab penyelenggaraannya oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berdasarkan kesesuaian serta kekangan peruntukan oleh agensi penyelenggara
    • Struktur asas jalan sedia ada yang lembut dan terdapat parit di bahagian kiri dan kanan jalan.
    • Jalan tersebut tidak sesuai untuk dinaiktaraf ke jalan berturap di atas kemungkinan jalan tersebut akan kerap mengalami kerosakan akibat dilalui oleh jentera/kenderaan berat pertanian sekaligus membahayakan keselamatan penduduk dan pengguna jalan tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.