Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
184) PERTANIAN DALAM BANDAR
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Tuan Abbas Salimmi Bin Che Adzmi @ Azmi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri bagi menggalakkan pertanian dalam bandar dan apakah bentuk peruntukan yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk menjayakan pertanian dalam bandar ini?
Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM250,000.00 untuk 50 kebun komuniti yang terpilih seluruh Negeri Selangor bagi pembelian input pertanian seperti cuka kayu, baja buah dan baja kompos sebagai galakan dan sokongan kepada orang ramai yang berminat untuk mengusahakan pertanian di kawasan terhad dengan pelaksanaan pertanian moden seperti berkonsepkan fertigasi yang menggunakan polibag sebagai contoh tanaman cili, terung, halia dan bendi manakala untuk bidang akuakultur pula dengan menggunakan konsep penternakan di dalam kanvas atau tangki yang bersesuaian dan ianya boleh dilaksanakan di mana-mana kawasan tanpa mengira tahap kesuburan tanah tetapi masih memerlukan sistem bekalan air dan tenaga elektrik. Ianya termasuklah juga projek-projek tanaman atau akuakultur di dalam bangunan termasuk di dalam bangunan-bangunan yang tidak digunakan (abandoned premis).
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga memberikan sokongan kepada penduduk di kawasan perumahan untuk mengusahakan projek-projek pertanian dengan insentif yang turut disediakan setiap PBT di seluruh 68 buah kebun komuniti yang berdaftar seluas 47.71 ekar di dalam kawasan pentadbiran masing-masing.
Bagi meningkatkan pendapatan rakyat dengan pertanian bandar, Kerajaan telah melaksanakan Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) jalinan strategik membabitkan Kementerian Ekonomi (MOF) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) serta Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) selaku agensi pelaksana.
Projek yang dilaksanakan di bawah komponen Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) @ PJ City Food Valley dan tanah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) tersebut melibatkan tanah seluas 60 ekar secara keseluruhannya dan dijangka akan memberi manfaat kepada 120 peserta IPR INTAN apabila diusahakan sepenuhkan menjelang tahun 2025.
Fasa pertama projek merangkumi tanah seluas 10 ekar (tanaman cili fertigasi) dan diusahakan oleh 20 orang peserta yang terdiri daripada penduduk setempat. Setiap peserta akan diberikan satu plot tanah dengan 2000 unit polibeg cili lengkap dengan infrastruktur sistem fertigasi untuk dijaga sehingga membuahkan hasil. Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) juga membimbing peserta dengan menawarkan latihan dan amali kaedah pertanian serta membantu memasarkan hasil tanaman mereka kepada orang ramai dengan potensi pulangan bersih antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan.