Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

181) GERAN NON-REVENUE WATER (NRW)

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha yang telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri untuk menyokong industri perkhidmatan air dan Air Selangor bagi mendapatkan geran Non-Revenue Water (NRW) daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kerajaan Persekutuan?

    Di bawah Program Pengurangan NRW oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), geran sepadan diberikan kepada operator-operator air yang berjaya mencapai sasaran penurunan kadar NRW tahunan yang ditetapkan. Dengan pendekatan ini, kerajaan Persekutuan membayar balik 50 peratus daripada perbelanjaan tahunan operator air untuk tujuan pengurangan NRW dan bayaran balik 75 peratus jika pencapaian itu digandakan.

    Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) komited untuk mencapai sasaran mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water, NRW) ke tahap 23.5 peratus menjelang 2030.  Setakat ini, Air Selangor telah berjaya menurunkan kadar NRW sebanyak 5.5 peratus, iaitu daripada 33.3 peratus pada 2017 kepada 27.8 peratus pada 2022.

    Air Selangor sebagai syarikat milik penuh Kerajaan Negeri yang berdaya saing dengan kedudukan kewangan yang kukuh, akan membincangkan dan mendapatkan pertimbangan Kerajaan Negeri ke atas Pelan perniagaan yang melibatkan perbelanjaan modal dan perbelanjaan operasi sebelum ianya dikemukakan untuk mendapat kelulusan SPAN.  Bagi tujuan penurunan NRW ini, Air Selangor telah membuat perancangan keseluruhan kos bagi kerja- kerja penurunan NRW dianggarkan sebanyak RM13.6 billion selama 30 tahun termasuk kos kerja penukaran paip lama.

    Di bawah Program Pengurangan NRW Kebangsaan, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan geran sepadan berjumlah RM362.36 juta kepada Air Selangor mengikut pecahan berikut:

    Tahun 2019: RM124.74 juta

    Tahun 2020: RM125.72 juta

    Tahun 2021: RM111.90 juta

Lampiran

Tiada Lampiran.