Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
142) PEMBANGUNAN LOJI RAWATAN AIR, LRA SUNGAI RASAU
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini pembangunan Loji Rawatan Air, LRA Sungai Rasau?
Sehingga 31 Januari 2024, kemajuan kerja bagi keseluruhan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sg. Rasau di bawah seliaan Air Selangor ialah pada 12.14% berbanding dijadualkan pada 14.91% dan dijangka siap pada penghujung 2025 – bagi Skim Bekalan Air Rasau Peringkat 1, manakala pada 2028 – bagi Skim Bekalan Air Rasau Peringkat 2. Kerja-kerja di tapak bagi kesemua Pakej 1, Pakej 2 dan Pakej 3 bagi pembinaan LRA Rasau sedang giat dijalankan termasuklah kerja-kerja pipe jacking di Lebuhraya South Klang Valley Expressway (SKVE) dan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE). Manakala, bagi pakej sumber air mentah (source work) yang dilaksanakan oleh Bahagian Bekalan Air (BBA), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) kini dalam peringkat penilaian tender.
-
Adakah pembinaan ini mempengaruhi kejadian banjir yang kerap berlaku di kawasan sekitarnya?
Pembinaan LRA Sg. Rasau tidak akan mempengaruhi kejadian banjir yang kerap berlaku di kawasan sekitarnya kerana terdapatnya pembinaan Kolam Tahanan Air di Tapak (atau On-Site Detention Pond (OSD)) yang telah dibina di tapak pembinaan bagi memastikan aliran air hujan tidak mengalir keluar dari kawasan LRA Sg. Rasau.