Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

118) PELUANG PEKERJAAN

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah Kerajaan Negeri untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran di Selangor?

    Pelbagai usaha dan inisiatif telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan peluang – peluang pekerjaan serta mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat di negeri ini bagi memastikan potensi kebolehpasaran rakyat melalui bidang perkhidmatan dapat dimanfaatkan sebaiknya. Salah satu daripada inisiatif tersebut adalah dengan menubuhkan Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja pada tahun 2021 yang kini telah digantikan dengan Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia. Fungsi kedua – dua Jawatankuasa Tetap ini adalah sama, namun peranan bagi Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia telah diperluas dalam pelbagai sudut untuk membangunkan dan melahirkan pekerja yang kompeten, produktif, responsif dan berdaya tahan dalam pasaran buruh negara ke arah meningkatkan kualiti dan produktiviti kerja disamping menyelesaikan permasalahan pekerjaan rakyat Negeri Selangor khususnya individu yang dikategorikan sebagai golongan rentan seperti warga emas, ibu tunggal, OKU dan bekas banduan.

    Di bawah Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia, terdapat dua (2) program utama yang berkonsepkan pameran kerjaya telah dijadikan sebagai Sasaran Kerja Utama (SKU) tahunan. Program tersebut adalah seperti berikut :-

    1. Program Jelajah Jobcare
    2. Program Mega Jobfair Peringkat Negeri Selangor

    Program Jelajah Jobcare anjuran Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia ini adalah merupakan usahasama Kerajaan Negeri Selangor dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) khusus untuk membantu rakyat B40 mencari pekerjaan atau yang telah kehilangan pekerjaan untuk mencari sumber pendapatan sebagai satu alternatif baharu bagi menampung kehidupan yang serba mencabar. Program ini dilaksanakan di setiap daerah di negeri Selangor dan mensasarkan masyarakat tempatan sebagai kumpulan utama. Melalui program ini, para pencari kerja berpeluang untuk menerokai potensi diri dengan mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan oleh majikan – majikan yang dipilih dalam kawasan komuniti daerah tersebut. Secara tidak langsung, cetusan idea ini dapat meningkatkan produktiviti masyarakat setempat untuk memajukan diri dan pada masa yang sama dapat menjana sumber pendapatan. Maklumat tambahan berkenaan jumlah pengunjung bagi pelaksanaan Program Jelajah Jobcare tahun 2023 secara keseluruhan adalah seperti berikut :

    Untuk makluman juga, Program Jelajah Jobcare ini akan diteruskan pada tahun 2024 dengan lokasi yang ditambah kepada 13 lokasi yang merangkumi setiap daerah dan kawasan Pihak Berkuasa Tempatan.

    Sementara itu, Program Mega Jobfair Peringkat Negeri Selangor pula adalah merupakan program baharu yang dirancang di bawah Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia yang dahulunya diletakkan di bawah Portfolio Pembangunan Modal Insan. Berbeza daripada Program Jelajah Jobcare, Program Mega Jobfair Peringkat Negeri Selangor ini akan dilaksanakan hanya sekali dalam setahun dengan skala yang lebih besar. Program ini dianjurkan adalah sebagai medium interaksi yang proaktif di antara pencari kerja dengan pihak industri dalam menyediakan peluang pekerjaan berdasarkan kelayakan, personaliti dan minat. Ianya juga membantu syarikat atau industri memilih tenaga kerja dalam kalangan warga tempatan. Pelaksanaan program ini akan melibatkan jaringan kerjasama daripada beberapa agensi, jabatan dan persatuan yang memainkan peranan penting dalam usaha memastikan objektif membantu rakyat mendapat pekerjaan tercapai. Dianggarkan seramai 100 majikan akan menyertai program bersifat mega ini dengan hampir 4,000 peluang pekerjaan ditawarkan.

  2. Apakah sektor-sektor yang dijangka akan menghasilkan peluang pekerjaan yang banyak?

    Berdasarkan sumber jawapan daripada Invest Selangor, rekod kelulusan projek – projek pelaburan bagi tempoh Januari hingga September 2023 menunjukkan sektor perkilangan menyumbang kepada penghasilan peluang – peluang pekerjaan yang banyak berjumlah 8,559. Manakala pelaburan dalam sektor perkhidmatan menghasilkan sebanyak 453 potensi peluang pekerjaan. Antara jenis – jenis industri yang dijangka akan menghasilkan peluang pekerjaan yang banyak seperti;-

    1. Industri pembuatan produk elektrik dan elektronik
    2. Industri pembuatan produk plastik
    3. Industri pembuatan produk makanan
    4. Industri pembuatan kelengkapan kenderaan
    5. Industri pembuatan produk logam dibentuk.

    Untuk makluman Yang Berhormat, data yang diterima daripada pihak MIDA menunjukkan bagi bulan Januari hingga September tahun 2023, jumlah pelaburan modal untuk sektor perkilangan di Negeri Selangor mencatatkan sebanyak RM16.9 billion manakala bagi sektor perkhidmatan pula sebanyak RM1.7 billion.

  3. Bagaimanakah Kerajaan Negeri merancang untuk membantu graduan baru mencari pekerjaan?

    Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor bagi membantu graduan baru mencari pekerjaan selepas tamat pengajian adalah seperti berikut:

    1. Program Kemahiran Profesional di STDC Kampus Shah Alam telah mengadakan kolaborasi bersama beberapa syarikat dan institusi antarabangsa antaranya Siemens.Inc, Apple.Inc, FESTO, Dassault Systemes; Program ini khusus dibangunkan bagi merapatkan jurang kemahiran yang dimiliki oleh graduan selepas tamat belajar dan keperluan kemahiran yang diperlukan oleh industri.
    2. Kerjasama ini menjurus kepada pemindahan teknologi dengan memberi fokus kepada industri teknologi digital dan pembuatan termaju melalui pembangunan inkubator industri bagi memacu transformasi Revolusi Industri Keempat (IR4.0) dan pendidikan industri. Melalui program ini, pihak industri akan berkongsi modul program terkini berdasarkan keperluan pasaran di industri utama di dalam dan luar negara yang akan meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan. Syarikat-syarikat ini juga memberi peluang pekerjaan di syarikat mereka di dalam dan luar negara selain memberi bantuan penempatan pekerjaan di bidang industri berkaitan setelah tamat pengajian;
    3. Kerjasama pembangunan modul program bersama Technical University of Munich (TUM) dan beberapa universiti awam dan swasta di Malaysia. Kerjasama ini dijalinkan untuk menampung keperluan pengajaran dan pembelajaran kursus-kursus TVET di STDC dengan bertumpu kepada pengkongsian strategik tenaga pakar professional dan latihan kepakaran di kalangan tenaga pengajar serta mewujudkan program-program akademik yang relevan dengan keperluan industri bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi; dan
    4. Program kerjasama pembangunan modul bersama konsultan dan industri TVET di Negeri Selangor antaranya GE Engineering bagi program aeroangkasa, The Welding Institute (TWI Malaysia) bagi program kimpalan dan Carsome Institute bagi program automotif. Program-program ini membantu pelajar mempelajari secara spesifik keperluan di setiap industri tersebut seterusnya memberi peluang kepada mereka untuk diserap bekerja dalam syarikat berkenaan sebaik tamatnya latihan yang diikuti.

    Kerajaan Negeri juga sentiasa berusaha untuk menambah baik inisiatif sedia ada dengan memantapkan jaringan kerjasama antara penyedia latihan dan pihak industri seperti memastikan peluang penempatan kerjaya graduan selepas mereka tamat pengajian. Melalui kerjasama dan program-program ini juga, diharap memudahkan graduan mengenalpasti serta dapat mengisi kekosongan jawatan di mana-mana sektor awam dan swasta yang diminati dan bersesuaian dengan kemahiran yang diperoleh.

Lampiran

Tiada Lampiran.