Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

109) PERANAN SUKARELAWAN KESIHATAN KOMUNITI SELANGOR (SUKA)

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Mariam Binti Abdul Rashid

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk memperkasa peranan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) dalam menawarkan perkhidmatan lawatan atau penjagaan di rumah?

    Antara salah satu objektif utama penubuhan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) pada tahun 2021 adalah dalam membantu komuniti setempat mendapatkan bantuan kesihatan yang bersesuaian dengan kadar yang segera. Antara program bantuan kesihatan yang telah dilaksanakan oleh anggota SUKA adalah lawatan ziarah medik yang melibatkan penyerahan peralatan perubatan kepada individu yang terkesan.

    Berhubung cadangan perkhidmatan penjagaan di rumah (home nursing) oleh anggota SUKA, perkara ini akan diteliti dan diperhalusi dengan sewajarnya oleh Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Negeri Selangor memandangkan skop tugasan ini memerlukan kepakaran dan latihan yang bersesuaian sebelum perkhidmatan tersebut boleh dilaksanakan oleh anggota SUKA.

  2. Perincikan latihan yang dijalani oleh SUKA sepanjang tahun 2023 hingga 2024.

    Pada tahun 2023, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam telah melaksanakan sesi latihan dan pendedahan kepada anggota SUKA seperti berikut:

    1. Latihan berkaitan penyakit berjangkit;
    2. Latihan berkaitan penyakit tidak berjangkit; dan
    3. Latihan penyakit bawaan vektor.

    Manakala bagi tahun 2024, Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam masih dalam perancangan bagi menentukan jenis latihan yang bersesuaian. Antara fokus utama SUKA pada tahun ini adalah bagi membantu rakyat Negeri Selangor melalui sesi lawatan ke kawasan kediaman dan pembukaan tempat pendaftaran bagi mendapat manfaat yang ditawarkan di bawah program-program kesihatan awam.

Lampiran

Tiada Lampiran.