Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
108) PERUBAHAN IKLIM
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Ong Chun Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimanakah penubuhan Pusat Adaptasi Perubahan Iklim dapat membantu Kerajaan Negeri menangani isu kesan perubahan iklim?
Isu kesan perubahan iklim perlu ditangani dengan kadar segera. Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk menubuhkan Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Negeri Selangor yang berperanan dalam membuat kajian, perancangan, inisiatif dan mengambil tindakan adaptasi dan mitigasi kepada isu-isu alam sekitar. Pusat Adaptasi ini akan menjadi sebuah organisasi yang akan membantu Kerajaan Negeri dalam melaksanakan semua tindakan serta inisiatif yang telah digariskan dalam Dasar dan Pelan Tindakan Perubahan Iklim yang akan siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2024.
Skop/fungsi Pusat Adaptasi ini adalah seperti berikut:
- (i) Menyelaras program/projek hijau yang lebih holistik ke arah pengurangan karbon mengikut perancangan tahunan, dasar dan garis panduan yang ditetapkan;
- (ii) Mempromosi, meningkatkan pemahaman dan kesedaran awam dalam memperkasakan gaya hidup lestari dan mampan di pelbagai peringkat dan sektor;
- (iii) Penggerak inisiatif dalam pasaran karbon kredit;
- (iv) Menjalankan kajian dan penyelidikan berkaitan pengurusan alam sekitar dan risiko perubahan iklim; dan
- (v) Menyelaras dasar diperingkat negara, negeri dan tempatan selaras dengan penekanan konsep Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals).