Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

107) PENGGANTIAN PEKERJA ASING DENGAN ANAK TEMPATAN

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berkaitan pengurangan kebergantungan KDEB terhadap pekerja asing, apakah usaha setakat ini untuk memperkenalkan Inisiatif Operator Perkhidmatan di Selangor?

    Untuk makluman Yang Berhormat Kampung Tunku, Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor sedang melaksanakan Inisiatif Operator Perkhidmatan atau dikenali sebagai IKHSAN yang merupakan salah satu program di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dilaksanakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM). IPR IKHSAN dilaksanakan dengan matlamat untuk meningkatkan pendapatan golongan B40 bagi melepasi paras kemiskinan menerusi bantuan tunai sebagai penambahan kepada pendapatan yang dibayar oleh majikan. Bantuan ini dikhususkan kepada pekerja warga tempatan dalam bidang pekerjaan 3D (Dirty, Dangerous, Difficult) seperti pembersihan pejabat / tandas / kawasan selenggaraan dan sebagainya, yang menerima gaji di bawah RM2,000 sebulan. Program ini juga mengurangkan kebergantungan kepada tenaga pekerja asing. Bantuan tunai yang dimaksudkan tersebut adalah Bantuan Penambahan Pendapatan Bulanan sebanyak maksimum RM850 sebulan selama 24 bulan, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan serta jumlah gaji yang diterima oleh seseorang itu.

    Bagi Negeri Selangor, Inisiatif IKHSAN ini dilaksanakan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Negeri Selangor dengan mewujudkan kerja sebagai operator pembersihan dan penyelenggaraan kemudahan awam dan premis awam di bawah selenggaraan PBT kepada golongan miskin dan miskin tegar dan golongan B40. Kerja-kerja yang dimaksudkan tersebut termasuklah pembersihan tandas awam, pemotongan rumput, pokok hiasan dan pokok, pembersihan pejabat, medan selera, pasar malam dan kawasan rekreasi, dan sebagainya.

    Untuk makluman Yang Berhormat Kampung Tunku, Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik usaha ini dan telah menghantar seramai 95 nama calon kepada Kementerian Ekonomi sebagai projek rintis untuk dipertimbangkan sama ada senarai nama tersebut layak atau tidak untuk pelaksanaan inisiatif IKHSAN ini. Justeru itu, selepas tapisan dan pertimbangan dilaksanakan di peringkat Kementerian Ekonomi, seramai 62 peserta telah diluluskan mengikut kriteria yang telah ditetapkan bagi menerima inisiatif IKHSAN ini.

    Sehubungan dengan itu, susulan daripada pelaksanaan projek rintis ini, ianya telah diterima baik dan mendapat sambutan di kalangan golongan sasar dan terdapat seramai 184 permohonan baru dari Negeri Selangor telah diterima melalui website ipr.ekonomi.gov.my yang merupakan website terbuka kepada orang ramai untuk memohon. Sehingga 31 Januari 2024, Kementerian Ekonomi memaklumkan bahawa senarai 184 permohonan tersebut sedang dalam peringkat tapisan, pemutihan dan pertimbangan untuk kelulusan.

    Untuk makluman, pelaksanaan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN) Negeri Selangor ini tidak dibahagikan mengikut DUN, tetapi ia dibahagikan mengikut Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menyelaras program bantuan ini. Ketika ini, terdapat 62 nama yang telah diluluskan untuk menerima inisiatif IKHSAN dan 3 buah PBT yang mempunyai peserta yang paling ramai dan mendapat sambutan tertinggi adalah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) seramai 24 penerima, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) seramai 21 penerima dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) seramai 13 penerima.

  2. Berapa warga tempatan B40 dan miskin tegar yang telah menyertai IOP? Nyatakan 3 DUN yang mendapat sambutan yang tertinggi.

Lampiran

Tiada Lampiran.