Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
86) KEBAJIKAN OKU
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Dato' Noorazley Bin Yahya
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sejak ditubuhkan, berapakah dana yang telah dibelanjakan oleh Yayasan Insan Istimewa Selangor khususnya untuk membantu golongan OKU di kawasan luar bandar?
Oleh kerana Yayasan Insan Istimewa masih lagi dalam proses penubuhan, program bagi anak istimewa Selangor masih lagi dilaksanakan oleh Jabatan ANIS di bawah YAWAS. Pelaksanaan program ANIS adalah berdasarkan keperluan golongan sasar dan tidak dibezakan mengikut kategori bandar atau luar bandar. Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM14 juta bagi pelaksanaan inisiatif di bawah Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) sejak tahun 2021 sehingga 2024.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM250,000 setiap tahun bagi Majlis Tindakan OKU Selangor, sejak ditubuhkan pada tahun 2018. Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) berperanan menyelia pelaksanaan pelan tindakan OKU Selangor, membuat syor tentang perkara-perkara yang berhubungan dengan OKU seperti sokongan, penjagaan, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan dan kesejahteraan masyarakat OKU di Selangor.
-
Berapakah jumlah penerima bantuan Yayasan Insan Istimewa oleh golongan OKU di kawasan DUN Bukit Melawati?
Penerima bantuan golongan OKU di kawasan DUN Bukit Melawati sejak dari tahun 2021 sehingga 2023 di bawah program Iltizam Anak Istimewa Selangor dan Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) adalah seramai 134 orang. Untuk makluman, bantuan di bawah program-program ANIS terbuka kepada semua pemohon yang layak di negeri Selangor tanpa meletakkan kuota penerima mengikut DUN.