Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

83) KES GELANDANGAN DI SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi membendung masalah gelandangan di Negeri Selangor?

    Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor adalah salah satu agensi yang dipertanggungjawabkan dalam menguatkuasakan Akta Orang-Orang Papa 1977 [Akta 183] di mana peranan Jabatan adalah untuk mengambil orang papa seperti diperuntukkan di bawah Akta 183 tersebut.

    Bagi mengatasi masalah orang papa dan gelandangan di Negeri Selangor, JKM telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan tindakan penguatkuasaan bagi mengambil orang papa melalui operasi yang dijalankan sama ada secara bersepadu, berkala dan ‘ad-hoc’ melalui aduan orang ramai. Sehingga Disember 2023 sejumlah 161 operasi telah dijalankan dan seramai 157 orang papa telah diambil iaitu melibatkan 96 warganegara dan 61 orang bukan warganegara.

    Antara tindakan lanjut yang diambil ialah bagi kes orang papa warganegara termasuklah:

    • Bagi yang mempunyai waris atau penjaga, mereka akan diserahkan semula kepada yang berkenaan dan bantuan kewangan secara bulanan akan diberikan sekiranya memenuhi kelayakan.
    • Sekiranya tiada waris atau penjaga penjaga, golongan ini akan ditempatkan di institusi kebajikan atau pusat jagaan NGO.
    • Pihak JKM juga turut menyediakan perkhidmatan kaunseling bagi kes yang memerlukan.
    • Rujukan kes dibuat kepada agensi lain yang berkaitan seperti Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Agama Islam Negeri, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Pihak Berkuasa Tempatan, sekiranya kes-kes tersebut memerlukan bantuan-bantuan lain seperti bantuan kewangan, bantuan sewa rumah, bantuan pekerjaan dan lain-lain bantuan yang bersesuaian.

    Bagi kes orang papa bukan warganegara, JKM akan merujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya. Manakala bagi kes-kes orang papa yang berpenyakit mental, pihak Jabatan akan merujuk kes berkenaan kepada pihak hospital dan PDRM untuk diuruskan di bawah Akta Kesihatan Mental 2001 (pindaan) 2023.

  2. Apakah Kerajaan Negeri boleh membina pusat/ rumah bagi golongan gelandangan?

    Setakat ini, penempatan kes-kes orang papa yang diambil oleh JKM ialah di Pusat Sehenti Sungai Buloh iaitu di Kompleks Penyayang Bakti Sungai Buloh. Kerajaan Negeri tiada perancangan untuk membina pusat gelandangan di Selangor.