Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
62) LITERASI PENDIDIKAN SELEPAS LAPORAN PISA 2022
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Malaysia mencatat kemerosotan dalam purata pencapaian ketiga-tiga domain literasi dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022, apakah perancangan Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan anak-anak Negeri Selangor tidak ketinggalan di dalam ketiga-tiga literasi: Literasi Matematik, Literasi Saintifik dan Literasi Bacaan?
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,
JPN Selangor sentiasa memberi keutamaan kepada pencapaian murid dalam ketiga-tiga literasi dalam pentaksiran PISA iaitu Literasi Matematik, Literasi Saintifik dan Literasi Bacaan. Sektor Pembelajaran JPN Selangor telah merancang program-program ke arah memantapkan pedagogi guru dan menggalakkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) murid-murid yang bakal menjadi calon PISA 2025. Perancangan program bagi memastikan anak-anak negeri Selangor tidak ketinggalan di dalam pertaksiran PISA adalah seperti berikut:
- Pelaksanaan Pentaksiran Kompetensi dan Literasi (PKL) yang merupakan satu program yang menyediakan murid-murid dengan soalan KBAT yang mirip kepada TIMSS dan PISA. Pelaksanaan program ini adalah kepada murid-murid sekolah rendah (Tahun 4,5 dan 6) dan sekolah menengah (Tingkatan 1,2,3 dan 4). Pentaksiran ini dilaksanakan menggunakan Google Form dan secara atas talian. Semua sekolah di negeri Selangor terlibat dalam program PKL ini bermula pada bulan Julai 2024 sehingga September 2024.
- Kunjung bantu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) kepada guru-guru mata pelajaran bacaan, matematik dan sains di sekolah-sekolah yang mempunyai skor yang rendah dalam Instrumen Standard Pembudayaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (ISPPK). Kunjung Bantu ini akan dilaksanakan oleh mentor TIMSS dan PISA JPN Selangor. Sebanyak 20 buah sekolah akan terlibat dalam sesi kunjung bantu ini. Pelaksanaan kunjung bantu ini akan dilaksanakan bermula pada bulan April 2024 sehingga September 2024.
- Kem Intervensi Lestari KBAT (Kem InteLeK) akan dilaksanakan di empat buah sekolah menengah yang mempunyai skor yang rendah dalam Pentaksiran Kompetensi dan Literasi (PKL 2023). Kem ini akan dilaksanakan pada bulan September 2024. Kem ini melibatkan 25 orang murid-Tingkatan 3.
- Penghasilan modul Boleh Baca (BoBa) untuk membantu murid menguasai literasi Bahasa Melayu. Penataran telah dilaksanakan kepada 50 buah sekolah fokus iaitu sekolah yang mempunyai bilangan murid yang ramai tidak menguasai literasi bacaan. Pada tahun 2024, sebanyak 50 buah sekolah lagi akan dibuat perluasan penataran modul BoBa.
- Modul Bitara Algebra (MoBA) akan dihasilkan bagi membantu murid-murid dalam menguasai konsep algebra. Modul yang dihasilkan akan siap pada bulan September 2024 dan akan digunakan pada bulan Oktober 2024. Modul ini akan diberikan kepada semua sekolah secara salinan lembut (softcopy).
- Bagi literasi Sains, Modul Intervensi Sains Selangor (MISS) akan dihasilkan bermula bulan April 2024 dan dijangka siap pada bulan Oktober 2024. Modul ini akan berfokus kepada aktiviti PdP yang menggunakan aktiviti ‘hands on’ yang menggalakkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi. Modul ini akan diberikan kepada semua sekolah menengah secara salinan lembut (softcopy).