Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

60) PULAU INDAH POWER PLANT (PIPP)

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah terma dan pulangan kepada Kerajaan Negeri berkenaan soft loan atau pinjaman sejumlah RM 150 juta yang diberikan kepada Worldwide Holdings untuk membantu pembiayaan ekuiti Worldwide dalam projek Pulau Indah Power Plant (PIPP)?

    Pada 17 Februari 2021, Kerajaan Negeri telah menyalurkan pinjaman kepada Worldwide Holdings Berhad (WHB) berjumlah RM150 juta bagi tujuan pengurusan aliran tunai WHB dalam melaksanakan projek Pulau Indah Power Plant (PIPP). Pinjaman ini berkuat kuasa untuk tempoh lima (5) tahun dengan tempoh matang pada 17 Februari 2026 dan dikenakan faedah atas pinjaman pada kadar 4.5% setahun.

    Berkuat kuasa pada 1 September 2023, pinjaman ini telah ditukarkan kepada pelaburan Saham Keutamaan Boleh Tebus dan Tidak Boleh Tukar (Redeemable Non Convertible Preference Shares –RNCPS). Pertukaran ini dapat membantu menambah manfaat pelaburan kedua-dua pihak selaku pihak-pihak yang berkepentingan seperti berikut:-

    • Keperluan pembiayaan projek semasa memerlukan komitmen WHB untuk menjalankan aktiviti pengumpulan dana tambahan dari semasa ke semasa. Kedudukan kewangan yang menarik tanpa komitmen hutang dapat memberikan nilai tambah kepada WHB; dan
    • Menjadikan Tabung Warisan Negeri Selangor (TWNS) rakan pelaburan WHB berbanding sebagai pemberi hutang.

    Terma dan syarat pelaburan langganan RNCPS yang dipersetujui adalah untuk tempoh selama tiga (3) tahun dengan kadar pulangan seperti berikut :-

    • Tahun 1 dan 2 : 5% setahun (September 2023 – Ogos 2025);
    • Tahun 3: 7% setahun (September 2025 sehingga Mac 2026).

    Berdasarkan rekod sepanjang tempoh pinjaman (17 Februari 2021 sehingga 31 Ogos 2023), pinjaman kepada WHB ini telah memberikan pulangan faedah pinjaman terkumpul sebanyak RM17,124,657.53 yang bersamaan dengan peratus pulangan 4.5% setahun.

    Manakala langganan RNCPS ini akan mula menerima dividen pertama pada 31 Mac 2024 selaras dengan terma dan syarat langganan iaitu pembayaran dividen tahunan pada setiap 31 Mac dan 30 September setiap tahun.

Lampiran

Tiada Lampiran.