Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
57) KEMPEN TAHUN 2025 MERUPAKAN TAHUN MELAWAT NEGERI SELANGOR
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Tuan Cheong Kian Young
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perancangan yang akan dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri sempena kempen tahun melawat Selangor pada 2025 ini?
Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor sedang merancang pelbagai usaha sebagai persediaan Kempen Tahun Melawat Selangor 2025 seperti berikut:
- Penetapan Matlamat dan Sasaran keseluruhan Tahun Melawat Selangor 2025, seperti peningkatan jumlah pelancong, peningkatan pendapatan, dan meningkatkan industri pelancongan;
- Melaksanakan Kajian Potensi Pelancongan seperti analisis pasaran bagi menentukan segmen pelancong berpotensi, dan trend pelancongan semasa;
- Cadangan penambahbaikan Infrastruktur pelancongan bagi mengenalpasti produk-produk pelancongan dan tempat penginapan baharu yang terdapat di semua daerah Negeri Selangor;
- Menggiatkan aktiviti pemasaran dan promosi pelancongan melalui pelbagai platform termasuklah kempen pengiklanan, kempen digital dan media sosial, siri promosi dalam dan luar negara, penganjuran acara pelancongan, roadshow, serta travel fair sempena Tahun Melawat Selangor 2025;
- Menjalankan kerjasama dengan penggiat industri pelancongan Negeri Selangor seperti agensi pelancongan, syarikat penerbangan, dan rakan kongsi strategik untuk meningkatkan capaian pemasaran, meningkatkan kualiti perkhidmatan serta menawarkan pakej-pakej yang menarik;
- Penganjuran program latihan dan pendidikan pelancongan untuk meningkatkan kesedaran dan kemahiran kepada penggiat industri terhadap keperluan pelancong;
- Penyediaan Kalendar Acara Pelancongan dan Festival sepanjang tahun yang mempunyai daya tarikan unik dianjurkan oleh Kerajaan Negeri ataupun pihak swasta; dan
- Meningkatkan kemudahan infrastruktur awam serta aspek kebersihan di destinasi pelancongan dan kemudahan umum dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan.
-
Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk menyalurkan peruntukan khas bagi persediaan menaik taraf kawasan pelancongan di Hulu Langat?
Kerajaan Negeri telah menerima 4 permohonan dari Majlis Perbandaran Kajang berjumlah RM350,000.00 dan 2 permohonan dari Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat berjumlah RM295,000.00 bagi menaiktaraf infrastruktur pelancongan di daerah Hulu Langat. Sesi lawatan bagi menilai cadangan permohonan yang dikemukakan oleh semua agensi yang telah memohon peruntukan akan dilaksanakan pada bulan Mac 2024.