Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

56) INTEGRASI KOMUNITI DALAM KAWASAN PERINDUSTRIAN

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Perpaduan

Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan kerajaan dalam membina sinergi di antara komuniti dan industri di Selangor memandangkan industri dilihat membangun pesat terutama kawasan di bawah DUN Batu Tiga?

    Secara dasar pihak Kerajaan tiada perancangan dalam membina sinergi di antara komuniti dan industri di Selangor. Namun begitu, beberapa inisiatif telah dilaksanakan oleh beberapa syarikat dalam usaha mewujudkan hubungan yang baik dengan pihak komuniti setempat. Sebagai contoh syarikat Gardenia di Shah Alam telah melaksanakan berbagai program seperti;-

    1. Program lawatan kilang untuk murid – murid sekolah yang ingin melihat proses pembuatan produk makanan.
    2. Program Khidmat Masyarakat dengan penghantaran roti secara percuma kepada pertubuhan kebajikan seperti rumah orang tua, rumah anak yatim, pusat dan sekolah pendidikan khas.
    3. Program Bag-2-School dalam usaha mengembalikan keterujaan anak – anak untuk kembali ke sekolah.
    4. Bantuan Bencana Alam dengan penghantaran produk makanan ke daerah – daerah yag terpencil yang dilanda musibah banjir.
    5. Program Welness Begins at Home (Kesejahteraan Bermula Dari Rumah). Program perbincangan dan forum dalam usaha menangani peningkatan kes kesihatan mental dikalangan komuniti.

    Sumber : Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd.

    Selain itu, syarikat Nestle Malaysia turut melaksanakan beberapa inisiatif seperti

    1. MAGGI CSR Campaign untuk mengumpul dana bagi rumah penjagaan warga emas bagi menyediakan bantuan makanan, barangan keperluan serta menaik taraf kemudahan yang disediakan.
    2. Nestle Healthy Kids (NHK) Program. Program kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memberikan penerangan berkenaan keperluan nutrisi bagi kanak – kanak di sekolah – sekolah.
    3. Program Nestle Cares dimana pihak Nestle menyediakan khidmat kerja sukarela di kalangan kakitangan syarikat.

         Sumber : Nestle Malaysia.

  2. Adakah pihak Kerajaan Negeri bersedia untuk memberi komitmen dalam menyediakan insentif bagi menggalakkan kemasukan pelabur?

    Dalam usaha menarik pelaburan asing ke Selangor, Kerajaan Negeri hanya menawarkan insentif yang tidak berbentuk kewangan seperti fasilitasi penyelarasan kelulusan pembangunan dan lain – lain bantuan yang diperlukan oleh pihak pelabur melalui peranan yang dimainkan oleh Invest Selangor. Insentif berbentuk kewangan hanya ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan sahaja.

    Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan Selangor’s Investors Soft Landing Incentive Program dimana insentif ini merupakan penyediaan Ruang Kerja Bersama (Coworking Area) / Ruang Pejabat (Co-working Office) bagi bakal pelabur samada dari dalam dan luar negara yang berhasrat untuk melaksanakan tinjauan awal perancangan pelaburan di Negeri Selangor. Insentif ini disediakan untuk menyediakan platform yang holistik dan memberikan sokongan penuh bagi pelabur yang berpotensi agar dapat menerokai ekosistem pelaburan di Selangor. Selain itu, melalui insentif ini juga dapat memupuk penglibatan komuniti industri sedia ada dalam proses menarik pelaburan baru ke kawasan dan kumpulan sektor yang dikenalpasti. Kemudahan yang disediakan untuk para pelabur ini berperanan sebagai pemudahcara dan secara langsung dapat membantu mempercepatkan perlaksanaan projek – projek pelaburan dengan sokongan – sokongan pelaburan yang diperlukan. Insentif ini juga akan dapat membantu mengurangkan kos awalan kepada pelabur baru yang berpotensi, di mana lebihan kos tersebut dapat digunakan untuk membuat pelbagai analisis dan kajian yang berkaitan semasa menerokai ekosistem pelaburan di Selangor.

    Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut menyediakan Selangor Lab Partnership Program yang merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu pemain industri untuk mengurangkan kos bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan produk dengan memanfaatkan kemudahan penyelidikan dan sumber kepakaran di institusi akademik sedia ada, serta menggalakkan kerjasama kolaborasi antara Institusi Pengajian Tinggi, Institusi Penyelidikan tempatan dan pemain industri. Melalui inisiatif ini, ianya dapat menggalakkan penyelidikan dan pembangunan inovatif serta berpontensi merapatkan hubungan dan kerjasama antara pihak akademi dan pemain industri dalam sektor sains hayat di Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.