Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
54) PERPADUAN DI DALAM MASYARAKAT
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Perpaduan
Adun: Y.B. Tuan Abbas Salimmi Bin Che Adzmi @ Azmi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri Selangor dalam mendidik dan menyampaikan mesej perpaduan terutama di sekolah rendah atau di sekolah menengah?
Kerajaan Negeri amat menitikberatkan perpaduan dipupuk sejak bangku sekolah lagi. Pada tahun 2023, terdapat pelbagai program yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri ke arah matlamat ini. Antara program perpaduan yang telah dilaksanakan adalah Pertandingan Kabaddi Perpaduan Kita Selangor 2023, Pertandingan Kaligrafi, Program My Doodle Perpaduan, Pertandingan Penulisan Cerpen Perpaduan dan lain-lain yang melibatkan penyertaan yang cukup menggalakkan dari kalangan pelajar-pelajar sekolah.
Penganjuran program seumpama ini adalah amat digalakkan untuk memupuk dan menyemarakkan semangat perpaduan bermula dari sekolah dan Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Perpaduan akan memastikan bahawa program dan aktiviti seperti ini mendapat keutamaan dan dipertimbangkan untuk pelaksanaannya.
Selain itu, di bawah Gagasan Rumpun Selangor, Kerajaan Negeri akan menghasilkan Lagu Perpaduan Rumpun Selangor yang dicadang akan diperkenal sebagai lagu tambahan ketika program-program perpaduan dan patriotik yang dilaksanakan di sekolah-sekolah di dalam Negeri Selangor. Lagu ini yang akan dicipta kelak akan mengambil inspirasi daripada konsep dan melodi lagu-lagu patriotik agar ianya dapat dinyanyikan dengan mudah oleh rakyat.
Menyedari akan peri pentingnya untuk semangat perpaduan ini disemarakkan seawal usia muda lagi, Kerajaan Negeri juga akan mendukung pelaksanaan program-program berkaitan perpaduan ini untuk dipanjangkan juga sebagai kokurikulum tambahan di TABIKA KEMAS dan TABIKA PERPADUAN di negeri ini.