Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

46) PENGGERAK BELIA SELANGOR (PEBS), TEAM SELANGOR DAN SUKARELAWAN SELANGOR (SERVE)

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakan pelaksanaan PeBS pada tahun 2024 dan bila dijangka selesai pelantikan?

    Penggerak Belia Selangor (PeBS) merupakan inisitif Kerajaan Negeri bagi memperkasa peranan belia di Negeri Selangor supaya lebih berperanan dan berdaya saing seterusnya melahirkan pelapis pemimpin yang lebih berkualiti. Kerajaan Negeri dalam proses menstrukturkan semula pelantikan PeBS yang sebelum ini diletakkan di bawah lima puluh enam Dewan Negeri kepada struktur baru di bawah Zon Majlis di setiap Pihak Berkuasa Tempatan supaya penglibatan belia dapat dioptimumkan secara keseluruhannya dengan menyasarkan kumpulan yang lebih kecil. PeBS juga akan menjalankan aktiviti secara menyeluruh kepada setiap belia mengikut kawasan yang telah ditetapkan bagi memastikan tiada belia yang tertinggal untuk ditangani bersama.

    Secara dasarnya, PeBS akan bergerak mengikut Dasar Belia Selangor (DBS) 2020 seperti berikut:-

    1. Kepimpinan dan Literasi Politik
    2. Hubungan Antarabangsa dan Pemikiran Global
    3. Keusahawanan dan Ekonomi Digital
    4. Pekerjaan dan Pembangunan Kemahiran
    5. Pendidikan
    6. Kebudayaan, Kreativiti, dan Sukan
    7. Keagamaan, Kesihatan, dan Kesejahteraan
    8. Media Digital dan Sosial
    9. Nasionalisme dan Patriotisme
    10. Keseimbangan Alam Sekitar

    Setiap Penggerak Belia Selangor (PeBS) akan memainkan peranan penting memperkukuhkan kerjasama dengan pemegang taruh seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ketua Komuniti India (KKI), Ketua Komuniti Cina (KKC), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Pusat Wanita Berdaya (PWB), Ahli Dewan Negeri, Ahli Parlimen, Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) / Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), dan juga NGO yang bersesuaian.

    Ketika ini, lantikan baru PeBS sudah difasa terakhir bagi dimuktamadkan dengan tatacara baru dan tempoh lantikan yang bersesuaian. Pelantikan PeBS ini dijangka dapat diselesaikan dilaksanakan selewat-lewatnya pada separuh penggal pertama tahun 2024.

  2. Adakah Team Selangor dilihat masih relevan pada tahun 2024 untuk dilaksanakan atau perlu fokus pada PeBS sahaja?

    Secara dasarnya, Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan Team Selangor adalah dua entiti berbeza tetapi mempunyai matlamat yang sama iaitu pembangunan komuniti. PeBS adalah program kepimpinan belia yang merupakan wakil Kerajaan Negeri bagi melaksanakan dasar-dasar Kerajaan Negeri dan menyantuni belia-belia di setiap kawasan bagi seluruh Negeri Selangor. Pelantikan ahli PeBS adalah melalui Jawatankuasa Pembangunan Belia & Kemajuan Sukan dan agensi pelaksana adalah Majlis Sukan Negeri Selangor.

    Team Selangor merupakan sebuah inisiatif kesukarelawanan dan pemerkasaan komuniti dengan objektif menjadikan anggota dan warga negeri sebagai penggerak pembangunan masyarakat dan negeri dengan penggemblengan tenaga secara kolektif melalui program-program bersasar di lapangan.

    Team Selangor berbeza dengan Penggerak Belia Selangor (PeBS) kerana program-program pembangunan sukarelawan tertumpu majoritinya kepada golongan komuniti dewasa matang, pembangunan kerohanian komuniti, mahasiswa dan pelajar sekolah. Team Selangor juga dipantau terus oleh Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Seksyen Makro.

    Oleh itu, Team Selangor dilihat masih relevan dan wajar diteruskan dan ini selari dengan Dasar Keselamatan Negara 2021-2025, nilai teras keselamatan negara ketiga, kesepaduan nasional. yang mana semangat sukarelawan sumbangan individu dapat dilihat melalui pembangunan kendiri, integrasi sosial, kemahiran, kerjaya dan akademik.

Lampiran

Tiada Lampiran.