Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
41) CAPAIAN INTERNET DI KAWASAN LUAR BANDAR
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Sains, Teknologi & ICT
Adun: Y.B. Dato' Noorazley Bin Yahya
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah peratusan capaian internet dan talian komunikasi khususnya di kawasan luar bandar di DUN Bukit Melawati?
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kadar liputan internet sehingga Suku Keempat 2023 bagi kawasan berpenduduk di Parlimen Kuala Selangor yang merangkumi DUN Ijok, DUN Jeram dan DUN Bukit Melawati ialah 99.95%. Manakala bagi jalur lebar talian tetap pula, sebanyak 7,902 premis tersedia dengan capaian gentian optik.
Secara umumnya, keseluruhan kawasan berpenduduk di DUN Bukit Melawati mempunyai liputan internet. Pihak MCMC menghargai kerjasama daripada pihak Ahli Yang Berhormat untuk menyalurkan maklumat terperinci berkenaan kawasan-kawasan yang kurang mendapat liputan agar MCMC dapat membuat tinjauan dan perancangan untuk penambahbaikan. Pihak Ahli Yang Berhormat juga boleh membuat aduan terus kepada Pejabat MCMC Negeri Selangor ataupun melalui pautan di https://aduan.mcmc.gov.my.
-
Apakah penyelesaian akan dilakukan kerajaan untuk menambah kebolehcapaian internet dan talian komunikasi di kawasan jauh daripada pencawang komunikasi terutamanya di DUN Bukit Melawati?
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sehingga Suku Keempat 2023, di bawah pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di DUN Melawati, sebanyak 75 stesen pemancar sediada telah dinaiktaraf, manakala sebanyak 7,902 premis telah mempunyai sambungan gentian optik.
Selain daripada itu, DUN Bukit Melawati turut mendapat manfaat pelaksanaan 5G di mana keseluruhan 15 tapak yang dirancang telah siap dan tersedia dengan capaian perkhidmatan 5G. Dengan pelaksanaan pembangunan rangkaian 5G ini sekaligus akan membantu mempertingkatkan capaian internet di DUN Melawati.
Usaha Kerajaan Negeri bersama MCMC untuk memperluas dan mempertingkatkan perkhidmatan komunikasi akan terus dipertingkatkan khususnya di kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih lagi belum mendapat perkhidmatan yang baik yang akan diambilkira dalam perancangan inisiatif dan perancangan baharu yang akan datang.
Pihak MCMC menghargai kerjasama daripada pihak Ahli Yang Berhormat untuk menyalurkan maklumat terperinci berkenaan kawasan-kawasan yang kurang mendapat liputan agar MCMC dapat membuat tinjauan dan perancangan untuk penambahbaikan. Ahli Yang Berhormat juga boleh membuat aduan terus kepada Pejabat MCMC Negeri Selangor ataupun melalui pautan di https://aduan.mcmc.gov.my.