Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
37) PROJEK LRT 3
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Pengangkutan
Adun: Y.B. Tuan Dr. Quah Perng Fei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini landasan dan stesen LRT 3 di DUN Bandar Baru Klang dan projek keseluruhannya?
Status kemajuan keseluruhan projek LRT3 sehingga Januari 2024 adalah pada kadar 93.88%, di mana status kemajuan infra Bandar Baru Klang bagi pembinaan landasan adalah 99.24% dan status kemajuan Bandar Baru Klang bagi pembinaan stesen adalah 91.03%. Projek LRT3 dijangka siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada Mac 2025.
-
Adakah punca air bertangkung di peparitan sepanjang LRT 3 terutamanya depan Pasar Borong Meru dan padang Sekolah Tinggi Klang, setiap kali hujan lebat?
Keseluruhan kerja-kerja perparitan dan longkang telah siap sepenuhnya mengikut rekabentuk Konsultan dan telah mendapat kelulusan dari pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor serta Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Beberapa siri kejadian banjir telah berlaku di Jalan Meru iaitu di hadapan kompleks Pasar Jalan Meru dan di hadapan Sekolah Tinggi Klang semasa di peringkat pembinaan pembangunan LRT3 dan selepas penyiapan kerja.
Susulan daripada beberapa siri kejadian banjir, pihak MBDK telah mengarahkan pihak LRT3 untuk membuat semakan dan mengkaji punca kejadian banjir dan cadangan untuk mengatasi perkara tersebut. Beberapa perkara yang perlu di teliti dan diambil kira oleh pihak LRT3 adalah seperti berikut:-
- Melalui pemerhatian, pihak LRT3 perlu menyemak keperluan dan keberkesanan parit erong (scuper drain);
- Membuat kerja pembersihan parit alir keluar di sepanjang Jalan Meru sehingga ke Sungai Klang;
- Menyemak pembinaan dan ubah suai pembetung di kawasan Bulatan Kota; dan
- Mengkaji semula punca kejadian dan membuat cadangan untuk mengatasi masalah kejadian banjir ini.
Pihak perunding LRT3 sedang membuat kajian semula lokasi-lokasi kejadian banjir tempatan. Antara punca utama yang dikenalpasti penyumbang berlakunya air bertakung ketika hujan lebat adalah berlaku sekatan di hilir perparitan ke sungai, terdapat mendapan dan sampah sarap serta halangan utiliti yang menyekat aliran perparitan.
Masalah air bertakung juga berlaku apabila berlakunya hujan lebat yang melampau pada ketika air laut pasang besar. Ia akan mengakibatkan berlakunya aliran balik air kembali ke perparitan sepanjang Jalan Meru, seterusnyanya menyebabkan air melimpah dan mengakibatkan air bertakung.
Pada tahun ini, pihak MBDK akan menaiktaraf perparitan di kawasan Lorong Nuri berhadapan Sekolah Tinggi Klang, yang seringkali mengalami kejadian banjir apabila berlaku hujan lebat.