Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
29) PENANAMAN JAGUNG SEBAGAI SUMBER MAKANAN AYAM TERNAKAN
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Tuan Muhammad Izuan Bin Ahmad Kasim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah hasil yang dapat dituai berdasarkan pilot projek yang dijalankan?
Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor telah berjaya menuai hasil pertama jagung bijian melibatkan 42 ekar daripada keseluruhan 300 ekar ladang di Kuala Langat Selatan, Selangor pada Januari lalu. Projek telah bermula sejak Mei tahun lalu dengan penanaman baka jagung bijian jenis Pacific 789 yang tahan lembapan dan sesuai dengan keadaan tanah di Kuala Langat Selatan.
Sebanyak 118 tan hasil akan diperoleh pada fasa pertama tuaian ini dengan kos kira-kira RM900.00 setiap tan berbanding harga import sebanyak RM1,200.00 per tan (tidak termasuk pengangkutan). Pengurangan kebergantungan kepada import ini sudah pasti akan memberi impak positif pada rantaian bekalan seperti menurunkan kos dedak dan harga jualan ayam khususnya yang dijual oleh PKPS.
Pelaksanaan projek ini adalah komitmen Kerajaan Negeri dalam meneruskan program intervensi harga makanan yang diperkenalkan sejak 2022 untuk memastikan akses makanan segar pada harga berpatutan yang mencukupi kepada rakyat Selangor khususnya menjelang musim perayaan.
Sebanyak 100 daripada keseluruhan 300 ekar telah pun dibersihkan bagi memulakan fasa penanaman kedua bermula pada bulan Mac tahun ini.
-
Apakah cadangan Kerajaan Negeri untuk memberi galakan kepada pemilik tanah untuk menanam jagung tersebut?
Tanaman jagung bijirin ini mempunyai permintaan dan harga jualan yang tinggi serta boleh memberi keuntungan yang berpatutan. Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengalu-alukan kerjasama strategik dengan mana-mana pihak yang berminat untuk menceburi bidang penanaman jagung bijirin ini khususnya di Negeri Selangor dan akan menawarkan kepakaran teknikal sedia ada untuk kerjasama secara komersial.
Jabatan Pertanian dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) juga akan membantu pemilik tanah atau pihak-pihak yang berminat untuk mengusahakan tanaman jagung bijirin ini dengan bimbingan kaedah penanaman yang betul, pengagihan benih yang baik dan jika penanaman secara Contract Farming jika memiliki tanah yang luas.
-
Apakah insentif yang kerajaan sediakan agar golongan muda dapat turut serta di dalam bidang penanaman tersebut?
Melalui objektif Pelan Transformasi Agro (PeTA) Selangor 2021 – 2025 penglibatan golongan belia amat diberikan perhatian dan galakan untuk mereka ceburi bidang pertanian dengan menjadikan sektor pertanian sebagai sumber ekonomi utama mereka.
Antara usaha Kerajaan Negeri untuk menarik minat golongan muda dalam mengusahakan tanaman jagung bijirin ini, antaranya adalah:
- Skim latihan yang dikendalikan oleh Jabatan Pertanian Negeri Selangor seperti inkubator usahawan tani, latihan kejuruteraan pertanian, latihan industri asas tani dan latihan-latihan teknikal yang berkaitan;
- Penggunaan teknologi dan Internet of Thing (IOT) dari segi benih, tanaman dan pemasaran hasil pertanian; dan
- Dana, pinjaman dan geran melalui Agrobank dan Hijrah Selangor.