Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

27) CUKAI PINTU DI KAWASAN KAMPUNG TRADISI

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Datuk Seri Jamil Bin Salleh

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah anggaran pendapatan kerajaan setelah cukai pintu di kampung tradisi dilaksanakan pada 2024?

    Jangkaan hasil yang akan diterima oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui kutipan cukai taksiran kediaman kampung secara bersasar pada tahun 2024 adalah berjumlah RM11.22 juta melibatkan 98,483 bilangan pegangan di seluruh Negeri Selangor.

  2. Apakah persediaan PBT untuk memberi khidmat di kawasan kampung seperti pungutan sampah, baik pulih sistem saliran, fasiliti dan sebagainya?

    Persediaan pihak PBT untuk memberi khidmat di kawasan kampung seperti baik pulih sistem saliran, fasiliti dan sebagainya antaranya adalah seperti berikut:

    i) Mengenal pasti dengan jelas keadaan di tapak dan menentukan had sempadan kawasan kampung yang dikenakan cukai dengan kawasan yang masih tidak dikenakan cukai oleh PBT.

    ii) Menentukan dan menyediakan inventori dan maklumat berkaitan kemudahan infrastruktur asas seperti jalan, longkang dan lain-lain yang perlu disenggara oleh PBT dan jabatan/ agensi lain bagi mengelakkan pertindihan bidang kuasa atau isu no man’s land. Terdapat juga pelaksanaan inisiatif tambahan oleh PBT yang melantik Kontraktor Panel Tidak Berjadual menggunakan peruntukan pembangunan tahunan bagi menyelesaikan aduan longkang rosak di kawasan kampung.

    iii) Menyediakan perkhidmatan kutipan sisa domestik di kawasan kampung dengan kekerapan tiga (3) kali seminggu dan kutipan sampah pukal dengan kekerapan dua (2) kali seminggu. Selain itu juga, terdapat PBT yang membekalkan tong sampah Mobile Garbage Bin (MGB) 120 Liter secara percuma di kawasan kampung.

    iv) Menjalankan penyelenggaraan sistem saliran di kawasan kampung secara tahunan berdasarkan pemantauan tapak dan aduan yang diterima.

    v) Menyediakan atau menaik taraf sistem saliran di kawasan kampung berdasarkan kawasan hotspot banjir dan juga merujuk kepada Pelan Induk Sistem Saliran yang dibangunkan oleh PBT.

Lampiran

Tiada Lampiran.