Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

25) KEBAJIKAN WANITA

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha kerajaan dalam menyokong golongan ibu muda yang bekerja?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa menyokong wanita untuk kekal bekerja kerana keterlibatan wanita dalam pekerjaan akan menyumbang secara langsung kepada kemajuan ekonomi negeri. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan empat (4) insentif bagi membantu mengurangkan beban kos penjagaan anak yang tinggi dalam kalangan keluarga khususnya generasi muda. Antaranya ialah:

    1. Insentif Penjagaan Anak bagi Wanita Bekerja (Program MamaKerja) diwujudkan bagi menghargai wanita bekerja khususnya kepada golongan ibu untuk mengurangkan kos penjagaan anak-anak. Seramai 5,000 wanita bekerja akan menerima insentif berjumlah RM1,000 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM5 juta. MamaKerja menyasarkan ibu bekerja yang mempunyai anak berusia 12 tahun ke bawah dengan pendapatan isi rumah RM8,000.00 ke bawah.
    2. Bantuan Asuh Pintar merupakan inisiatif penjagaan kanak-kanak di taska dengan bantuan yuran bulanan sebanyak RM100.00 sebulan selama setahun, bagi kanak-kanak berusia 4 tahun ke bawah dari keluarga bependapatan RM3,000.00 ke bawah.
    3. Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) merupakan bantuan yuran bulanan tadika berjumlah RM50.00 sebulan selama setahun, yang diberikan kepada kanak-kanak di Selangor berusia 5 dan 6 tahun ke bawah dari keluarga berpendapatan RM3,000.00 ke bawah.
    4. Program Insentif Yuran Pendaftaran Taska Anak Selangor Anak Kita (PINTAS) merupakan bantuan yang diberikan kepada ibu bapa bagi menampung kos yuran pendaftaran taska. Bantuan berjumlah RM100.00 diberikan secara one-off kepada 1,000 kanak-kanak berumur 4 tahun dan ke bawah, dengan lingkungan pendapatan keluarga iaitu RM5001.00 hingga RM8,000.00.
  2. Senaraikan jumlah dan lokasi pusat asuhan kanak-kanak di bangunan kerajaan dan swasta.

    Sehingga Disember 2023, sejumlah 1,051 taska berdaftar dan beroperasi di negeri Selangor. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 31 buah beroperasi di bangunan kerajaan sebagai Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) Tempat Kerja Awam (TTKA) dan 20 buah beroperasi di pejabat swasta sebagai Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) Swasta (TTKS)  di Negeri Selangor. Pecahan jumlah berdasarkan daerah adalah seperti berikut:

     

  3. Apakah langkah-langkah kerajaan dalam menggalakkan lebih ramai syarikat swasta menyediakan pusat asuhan kanak-kanak bagi golongan ibu yang bekerja?

    Menerusi Tema Strategik 2 Rancangan Selangor Pertama iaitu Peningkatan Kesejahteraan dan keterangkuman Sosial, Kerajaan Negeri menetapkan dua strategi iaitu: 1) Menyediakan sokongan yang diperlukan oleh wanita bekerja iaitu pusat jagaan kanak-kanak yang selamat, boleh dipercayai dan terletak di kawasan strategik serta; 2) Meningkatkan akses kepada pendidikan awal kanak-kanak.

    Oleh itu, Kerajaan Negeri sedang dalam perancangan untuk memberikan insentif kepada majikan yang menyediakan pusat pengasuhan atau pendidikan awal kanak-kanak di tempat kerja atau di kawasan yang strategik yang mempunyai permintaan yang tinggi. Kerajaan Negeri menetapkan sasaran jangka panjang iaitu berkolaborasi dengan majikan di Selangor bagi mewujudkan dua (2) taska dan dua (2) tadika di setiap daerah.

Lampiran

Tiada Lampiran.