Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

23) ISU TEKANAN AIR RENDAH

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Mohd Rafiq Bin Mohd Abdullah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah cadangan penyelesaian yang bersifat jangka masa pendek dan jangka masa panjang untuk menangani isu tekanan air rendah di kawasan Lorong Beringin, Lorong Orkid, Lorong Melati, Lorong Jering dan beberapa kawasan di Kampung Cempedak?

    Bekalan air ke kawasan Kuang adalah dari sumber air kolam yang berada di Batu Arang dengan jarak melebihi 15 km dari Loji Rawatan Air (LRA) Sg. Rasa. Jajaran paip di kawasan Kuang adalah dari jenis simen asbestos (AC) yang sudah uzur dan telah berusia lebih 30 tahun. Selain itu, sistem jajaran paip di kawasan tersebut juga telah melebihi kapasiti reka bentuk dan tidak teratur kerana tiada pembangunan terancang bagi pembinaan infrastruktur bekalan air yang sempurna.

    Walau bagaimanapun, bagi mengatasi isu tekanan air rendah di kawasan tersebut, Air Selangor telah melaksanakan:

    Tindakan jangka masa pendek

    • Pada tahun 2022, Air Selangor memasang paip sambungan kepada paip agihan projek pembangunan yang berhampiran dan langkah ini telah menyelesaikan masalah tekanan air di sebahagian kawasan Kuang.
    • Selain itu, pihak Air Selangor turut merancang untuk menyalurkan bekalan air alternatif ke kawasan Kuang melalui sumber bekalan dari Loji Rawatan Air Sg. Selangor Fasa 3 yang dijangka akan dilaksanakan suku pertama 2025.

    Tindakan jangka masa panjang

    Air Selangor sedang merancang untuk memasang jajaran paip agihan baharu serta membina kolam air yang baharu bagi menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan Kuang secara mampan dan dijangka akan dilaksanakan pada 2027.

Lampiran

Tiada Lampiran.