Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

16) PROGRAM BAGI MEMBERDAYAKAN KETUA-KETUA KAMPUNG

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah program yang dianjurkan Kerajaan Negeri bagi memberdayakan ketua-ketua kampung di negeri ini bagi tahun 2018 - 2023?

    Kerajaan Negeri sangat mementingkan kredibiliti ketua-ketua kampung tradisi dalam memastikan pentadbiran kampung berada dalam kondisi selamat dan sejahtera. Justeru Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai program dan aktiviti yang memantapkan dan memberdaya ketua-ketua kampung tradisi, antaranya kursus induksi Ketua Kampung, kursus pemantapan Ketua Kampung, kursus integriti Ketua Kampung dan lain-lain. Program-program pemberdayaan ketua kampung tradisi negeri Selangor dari tahun 2018 sehingga 2023 adalah seperti berikut:

  2. Apakah aspek keupayaan khidmat ketua kampung dinilai?

    Untuk makluman YB, prestasi Ketua Kampung Tradisi yang telah dilantik oleh Kerajaan Negeri ini akan dinilai dari semasa ke semasa berdasarkan kriteria dan kaedah tertentu. Untuk permulaan Ketua Kampung Tradisi yang telah dilantik akan melalui tempoh percubaan selama 6 bulan sebelum perkhidmatan mereka dinilai kembali sama ada untuk diteruskan atau sebaliknya.

    Antara kriteria umum yang diambil kira ketika menilai prestasi Ketua Kampung Tradisi dalam tempoh 6 bulan percubaan adalah seperti berikut:

    Tapisan Keselamatan dan Rekod Jenayah iaitu tiada rekod sabitan hukuman sama ada kes jenayah ataupun kes syariah;

    1. Status Kebankrapan;
    2. Mempunyai ahli MPKK yang lengkap;
    3. Mempunyai isu bantahan atau tidak; dan
    4. Mampu menguruskan pentadbiran MPKK dengan baik seperti minit mesyuarat yang lengkap dan laporan kewangan yang teratur.

    Perkara-perkara di atas perlu dilaporkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah berkaitan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Penilaian Peringkat Negeri melalui mesyuarat yang dipengerusikan oleh YB EXCO Pembangunan Desa, Perpaduan dan Pengguna.

    Sebagai tambahan, Ketua Kampung Tradisi juga akan dinilai secara tahunan dari semasa ke semasa berdasarkan penilaian empat (4) elemen utama di dalam pentadbiran kampung iaitu:

    1. Pengurusan Mesyuarat (kekerapan dan kualiti);
    2. Pengurusan Kewangan (ketelusan);
    3. Inovasi dan Kreativiti (produk dan anugerah); dan
    4. Aktiviti Kemasyarakatan (sambutan dan penglibatan).

    Melalui 4 elemen tersebut, adalah diharapkan kelemahan yang mungkin berlaku seperti kelemahan pemantauan pentadbiran, konflik pengurusan, kurang komitmen ketika menjalankan tugas dan amanah dan sebagainya dapat diatasi dengan bijaksana dan berhemah.

  3. Apakah tindakan Kerajaan Negeri terhadap ketua kampung yang gagal melepasi penilaian tersebut dan berapa ramai?

    Garis Panduan Dasar, Tatacara, Peraturan Mengenai Pelantikan dan Perkhidmatan Ketua Kampung Tradisi Serta Urusan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Selangor telah menggariskan bahawa setelah seseorang Ketua Kampung Tradisi dilantik, penilaian pertama akan dibuat setelah genap enam (6) bulan tempoh percubaan. Penilaian seterusnya akan dibuat secara tahunan bagi memastikan perkhidmatan Ketua Kampung tersebut di tahap yang baik.

    Sekiranya pada mana-mana penilaian, perkhidmatan Ketua Kampung tersebut didapati tidak memuaskan atau berlakunya perkara-perkara yang munasabah dan difikirkan relevan untuk disemak semula pelantikannya maka perkhidmatan Ketua Kampung tersebut boleh dicadangkan kepada Jawatankuasa Penilaian dan Tatatertib yang dipengerusikan oleh YB EXCO Kemajuan Desa untuk diambil tindakan sewajarnya.

Lampiran

Tiada Lampiran.